suria

MH17, MH370: Tidak Lunturkan Sambutan Merdeka - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengibar Jalur Gemilang ketika melancarkan program Mengibar Jalur Gemilang di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata meskipun negara masih diselubungi suasana kesedihan ekoran tragedi pesawat MH17 dan MH370, namun komitmen untuk menterjemahkan semangat serta azam bagi menyemarakkan jiwa patriotisme dan memastikan kedaulatan bumi Malaysia tercinta masih perlu diteruskan.

Perdana Menteri berkata sesungguhnya inilah kehebatan rakyat negara ini yang sentiasa bersatu hati mengharungi apa jua cubaan dan rintangan sama ada ketika pilu atau gembira dengan jiwa kental bagi mendepani cabaran mendatang.

"Majlis dilancarkan hari ini (Isnin) membawa erti dan sangat signifikan kerana selain sebagai tanda memulakan perayaan bulan kemerdekaan yang cukup bermakna, (kita) juga perlu tunjukkan bahawa sebagai rakyat, kita sanggup melakukan tindakan untuk mengibar Jalur Gemilang.

"Tindakan memasang dan mengibar Jalur Gemilang lebih bermakna lagi sebab rasa dan jiwa patriotisme tidak boleh tersimpan dalam jiwa tetapi perlu dizahirkan secara terbuka bagi menunjukkan semangat rakyat Malaysia," katanya pada majlis pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di sini, Isnin.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta menteri-menteri kabinet yang lain.


Artikel Lain