suria

Isu MB: Mampukah Khalid Elak Perangkap Pakatan?

Abdul Khalid Ibrahim.
PETALING JAYA: Kemelut politik di Selangor semakin menghampiri noktah selepas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menolak cadangan PAS yang menamakan beliau sebagai calon kedua untuk jawatan menteri besar.

Azmin menegaskan beliau akur dengan keputusan parti untuk hanya mengemukakan nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail - kepada Istana.

Ini bermaksud, seperti yang dipersetujui sebelum ini, kepimpinan Pakatan Rakyat hanya akan mengemukakan nama Wan Azizah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dipertimbangkan.

Bagaimanapun, ini tidak memberi jaminan bahawa isteri ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Beberapa kemungkinan timbul daripada perkembangan terbaharu kemelut ini dan pengakhirannya hanya akan bergantung kepada tindakan susulan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas ini.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Khalid menjelaskan beliau akur dengan keputusan PAS yang akhirnya menyatakan pendirian menolak beliau daripada terus kekal sebagai menteri besar Selangor.

Sehubungan itu, Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memaklumkan mengenai perkembangan terbaharu itu.

Khalid boleh mengalah dan memaklumkan Sultan bahawa beliau sanggup meletak jawatan dengan serta-merta kerana tidak mendapat sokongan daripada mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.

Ini akan menjadi senario terbaik untuk Pakatan Rakyat yang melancarkan proses pelantikan Wan Azizah sebagai menteri besar yang baharu dalam masa terdekat.

Namun, dengan mengambil kira tindakan pemecatan Khalid daripada PKR pada 9 Ogos lalu, Menteri Besar itu tidak akan melepaskan jawatannya dengan mudah dan mungkin mempunyai beberapa percaturan di luar jangkaan.

Beliau mungkin akan menangguhkan pengundurannya sehingga November apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka bersidang semula dan memilih untuk berundur menerusi usul undi tidak percaya.

Kini, PAS turut menyokong Khalid digantikan, ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat itu akan memperoleh majoriti mudah untuk menyingkirkannya kerana mereka memenangi 43 daripada 56 kerusi DUN.

Apabila itu berlaku, PKR bebas melantik Wan Azizah untuk mengisi jawatan itu walaupun masih belum jelas sama ada Sultan akan menerima hanya satu saja nama.

Ini kerana, dalam kes yang sama apabila berkaitan pelantikan Menteri Besar, Istana akan meminta sekurang-kurangnya dua atau tiga nama untuk dicalonkan.

Pakatan kemudian akan dipaksa untuk menghantar beberapa pilihan nama untuk jawatan tersebut dan seperti yang dibincangkan antara pemimpin Pakatan Rakyat pada Ahad, nama Azmin mungkin dihantar bersama nama Wan Azizah.

Jika senario itu berlaku, sumber berkata Azmin mempunyai peluang terbaik untuk dilantik sebagai menteri besar kerana Istana menolak pelantikan Wan Azizah selepas permintaan beliau untuk menghadap Sultan ditolak.

Penyelesaian terakhir adalah Khalid boleh menasihati Sultan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil diadakan untuk menyelesaikan kemelut politik yang semakin meruncing di negeri itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain