suria

Polis Melaka Tumpaskan Kumpulan Pecah Premis Nombor Ramalan

MELAKA: Polis Melaka berjaya menumpaskan kumpulan pecah masuk premis nombor ramalan di sekitar negeri itu yang didalangi tiga warga Vietnam membabitkan kerugian kira-kira RM180,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kumpulan yang dianggotai lelaki berusia antara 27 hingga 33 tahun itu dipercayai terlibat dalam sembilan kes pecah premis berkenaan sejak Mei lepas.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan pada kira-kira 4 petang di sebuah rumah flat di Bachang Permai di sini, Rabu lepas dan pelbagai peralatan termasuk tiga pemutar skru, dua mesin gerudi dan pemotong besi turut dirampas.

"Ketiga-tiga lelaki terbabit yang tidak mempunyai pekerjaan mengaku terlibat melakukan sembilan kes berkenaan dan seorang daripadanya tidak mempunyai dokumen perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Katanya, siasatan mendapati penjenayah tersebut memecah masuk premis berkenaan melalui bumbung atau tingkap sebelum menebuk peti besi simpanan wang dan barang berharga.

Raja Shahrom berkata, penahanan ketiga-tiga lelaki itu berjaya dilakukan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di semua premis yang dipecah masuk.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka kini ditahan reman empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis dan mencuri.

Artikel Lain