suria

Misi Bantuan Kemanusiaan KP1M Ke Gaza Awal Pagi Sabtu

Azeez (duduk, dua dari kanan) melawat Mohamad Ismail Mohamad, 7, antara kanak-kanak yang masih trauma dirawat untuk mengeluarkan serpihan bom yang melekat dalam badannya di Pusat Pediatrik dan Ortopedik, Institut Nassir, Kaherah.
KAHERAH: Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang disertai Mercy Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ke Gaza, dijangka bergerak ke wilayah bergolak itu melalui sempadan Rafah pada 12.30 pagi waktu tempatan (5.30 pagi waktu Malaysia) pada Sabtu.

Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kelulusan untuk melalui Rafah diperoleh daripada kerajaan Mesir pada Khamis hasil perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, setelah pelbagai usaha Sekretariat KP1M sebelum ini berdepan kesulitan.

"Saya tak nak ganggu perdana menteri tetapi nampaknya susah (dapat kelulusan). Jadi, terpaksa minta beliau campur tangan. Akhirnya, semalam perdana menteri maklumkan kepada saya sendiri bahawa kelulusan (untuk melalui Rafah) telah dapat.

"Dan pihak Mesir telah menghubungi duta besar Malaysia di Mesir untuk buat persiapan rapi sebelum bertolak," katanya kepada pemberita selepas taklimat harian bersama sukarelawan Malaysia di sini, Jumaat.

Abdul Azeez, yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Umno berkata, kerajaan Mesir hanya membenarkan 72 sukarelawan memasuki sempadan Rafah.

"Berikutan itu, kumpulan misi kemanusiaan seramai 84 orang itu, yang turut disertai anggota Mercy Malaysia dan Mapim, akan dibahagi kepada dua kumpulan seperti perancangan awal," katanya.

Persiapan bagi memasuki sempadan Rafah dimulakan seawal 7 Ogos lepas dengan kumpulan pertama misi seramai lapan orang telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan Mesir dibantu Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Perjalanan sejauh 500 kilometer dari tempat penginapan peserta misi di Giza, Kaherah ke sempadan Rafah akan melalui hampir 40 pos kawalan keselamatan dan diiringi anggota keselamatan bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat.

Abdul Azeez berkata, misi awal pagi Sabtu itu akan disertai dua bas yang membawa peserta, tiga kontena mengandungi bekalan bantuan serta beberapa kenderaan rasmi pihak Kedutaan Malaysia.

Misi bantuan kemanusiaan itu merancang mengagihkan 5,000 kotak bekalan makanan untuk 25,000 penduduk Palestin serta menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsa serangan Israel di Gaza.

Turut serta dalam misi itu ialah Duta Besar Malaysia di Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan Duta Palestin di Malaysia, Dr Anwar Al-Agha.

Media melaporkan hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan kejam Israel di Semenanjung Gaza sejak 8 Julai lepas.

Pada Rabu malam, agensi berita antarabangsa melaporkan pihak Israel dan Palestin bersetuju melanjutkan tempoh gencatan senjata selama lima hari selepas gencatan senjata selama 72 jam berakhir pada malam sama.


KP1M, Gaza, Rafah

Artikel Lain