suria

Saiful Fail Saman Terhadap Anwar RM50 Juta

Mohd Saiful Bukhari Azlan.

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan memfailkan saman terhadap Ketua Pembangkang itu bagi menuntut ganti rugi RM50 juta berhubung kes liwatnya enam tahun lepas.


Mohd Saiful, 27, memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, pada 23 Jun lepas melalui Tetuan Zamri Idrus & Co. Media memperoleh salinan pernyataan tuntutan hari ini selepas kes itu disebut untuk pengurusan kes.

Dalam writ samannya, Mohd Saiful mendakwa beliau mengalami kesakitan fizikal dan menanggung penderitaan sejak 2008 sehingga kini akibat diliwat oleh defendan (Anwar) dan selepas Anwar menuduh laporan polis yang dibuatnya mengenai kejadian liwat itu sebagai satu fitnah dan konspirasi terhadap Anwar.

Mohd Saiful berkata perbuatan liwat itu adalah suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Anwar perlu membayar ganti rugi kepadanya di atas perbuatan liwat itu dan akibat fitnah yang dilemparkannya berhubung laporan polis itu.

Mohd Saiful mendakwa defendan (Anwar) sesungguhnya bertanggungjawab ke atas segala kerosakan dan kehilangan yang dialami plaintif (Mohd Saiful) akibat diliwat oleh defendan.

Mohd Saiful mendakwa beliau tidak pernah berbohong dengan kandungan laporan polis itu yang menyatakan Anwar telah meliwatnya dan kali terakhir kejadian itu berlaku pada 26 Jun, 2008, di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, di sini.

Katanya kandungan laporan polis itu adalah apa yang sebenarnya terjadi dan kejadian liwat itu berlaku tanpa kerelaannya.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Mohd Saiful berkata beliau bekerja dengan Anwar pada Mac 2008 sehingga Jun tahun sama pada usia 22 tahun dan beliau sering dibawa Anwar untuk urusan di dalam dan luar negara.

Katanya beliau telah dipandang rendah oleh masyarakat yang mempercayai tuduhan Anwar terhadapnya, dicemuh di laman-laman sosial dan telah mengalami tekanan teruk akibat daripada fitnah dan kejadian liwat itu.

Sehubungan itu, Mohd Saiful memohon ganti rugi RM50 juta ganti rugi am, khas, teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Selepas kes itu disebut hari ini, Peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohd Saiful memberitahu media bahawa kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes 8 Okt ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, Norfauzani Mohd Nordin.


Beliau berkata mahkamah juga memerintahkan Anwar yang diwakili peguam Shahid Adli memfailkan pernyataan pembelaannya sebelum 3 Sept ini.

Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar kerana meliwat Mohd Saiful selepas membenarkan rayuan pihak pendakwa raya untuk mensabitkan Anwar atas pertuduhan meliwat.

Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan, 2012 yang melepaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful. Bagaimanapun Anwar dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes esok.

Saiful, saman

Artikel Lain