suria

Reman Tiga Suspek Bunuh Pelajar Britain Dilanjutkan

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, Rabu memerintahkan tempoh tahanan reman tiga daripada lima suspek kes pembunuhan dua pelajar perubatan warga Britain minggu lepas dilanjutkan tujuh hari lagi di bawah jagaan polis.

Majistret Portia Tham Ong Leng membuat perintah itu terhadap suspek masing-masing berumur 19, 23 dan 29 tahun, berkuat kuasa mulai hari ini dan mengarahkan mereka dihadapkan semula ke mahkamah pada 20 Ogos.

Ketika membuat permohonan itu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, pengawai penyiasat kes, ASP Rejali Angong berkata polis memerlukan masa yang cukup untuk menyelesaikan siasatan mereka.

Dua pelajar Newcastle University itu, Aidan Grunger, 22, dan Neil Dalton, 23, ditemui mati di Jalan Abell, Padungan di sini kira-kira 4.15 pagi pada 6 Ogos tahun ini.

Tiga suspek itu ditahan di lokasi berasingan sekitar bandar raya ini sejak 6 pagi hari sama.

Selain itu, polis turut menahan dua lagi suspek, masing-masing berumur 35 dan 55 tahun, pada 7 dan 8 Ogos.


Mahkamah, Kuching

Artikel Lain