suria

Exco PKR, DAP Ikrar Terus Berkhidmat

PETALING JAYA: Enam exco Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Selangor yang dipecat serta-merta oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa mengambil keputusan meneruskan tugas seperti biasa.

Datuk Teng Chang Kim (DAP) yang sebelum ini memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan berkata, pemecatan itu dianggap tidak sah kerana Khalid masih belum menghadap dan mendapat perkenan Sultan Selangor.

"Tan Sri Khalid tidak berikan gambaran yang benar, beliau masih belum menghadap Sultan Selangor untuk menasihatkan (Tuanku) bagi menamatkan perkhidmatan kami sebagai exco.

"Oleh itu, semua exco yang kononnya dipecat akan terus berkerja dan kembali ke pejabat untuk meneruskan tugas kami sebagai exco kerajaan negeri Selangor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, malam Selasa.

Hadir sama empat lagi exco yang dipecat Ean Yong Hian Wah, Elizabeth Wong, Dr Daroyah Alwi dan Ganabatirau Veraman.

Bagaimanapun, Rodziah Ismail tidak hadir kerana berada di luar negara dan akan pulang ke tanah air pada Rabu.

Adun Sungai Pinang itu berkata, beliau percaya Khalid telah membuat pemecatan tanpa mendapat perkenan atau menghadap Sultan Selangor terlebih dahulu.

"Saya difahamkan dalam sidang media mengenai pemecatan ahli exco hari ini (Selasa) beliau telah memohon menghadap untuk mendapat perkenan Sultan," katanya.

Menguatkan lagi dakwaan bahawa Khalid masih tidak mendapat perkenan Sultan apabila Khalid dilihat sehari suntuk berada di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Selasa dan hanya meninggalkan lokasi setelah mengadakan sidang media mengenai pemecatan ahli exco selepas pukul 6 petang Selasa.

"Kami menerima surat pemecatan sebelum pukul 6 petang (sebelum sidang media).

"Di dalam surat itu menyatakan Sultan Selangor 'bersetuju', sepatutnya menggunakan istilah 'perkenan'," katanya yang menganggap pemecatan itu sebagai tidak sah dan tidak diiktiraf.

Beliau menjelaskan, selain tidak mengikut Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, Khalid juga telah melanggar amalan demokrasi.

Katanya, sebagai anggota yang dipecat daripada parti Khalid tidak mempunyai legitamasi untuk memecat mana-mana anggota exco kerajaan Pakatan Rakyat

"Ini tak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi di dalam mana-mana negara di dunia.

"Beliau telah catat satu rekod dunia dengan memecat anggota daripada kerajaan sedangkan beliau sendiri telah dipecat daripada parti," katanya.

Beliau berkata, Khalid jelas tidak memahamai, keliru dan tidak mematuhi peruntukan undang-undang berdasarkan tindakan yang telah dilakukannya sejak berlakunya krisis menteri besar Selangor.




Artikel Berikut

Khalid Bohong - Pakatan

Artikel Lain