suria

Biarkan Khazanah & MAS Lakukan Tugas Mereka

Tony Fernandes
KUALA LUMPUR: Biarkan Khazanah Nasional Bhd dan pengurusan Malaysia Airlines (MAS) melakukan tugas mereka dalam usaha menyelamatkan syarikat penerbangan nasional itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Enggan mengulas tentang perkembangan terbaharu tentang rancangan penyahsenaraian MAS daripada Bursa Malaysia, Fernandes berkata: "Saya tak boleh kata apa-apa. Khazanah mempunyai ramai orang yang pintar dan berpengalaman". 

Menurutnya, beliau benar-benar berharap semua pihak akan memberikan peluang kepada mereka.

"Perlu ada suatu perubahan. Lagi kurang campur tangan, lagi baik. Dan itu termasuk daripada orang seperti saya dan ahli politik," katanya kepada media selepas pelancaran perkhidmatan terbaharu AirAsia, the Premium Flex, di sini, Isnin. 

Beliau turut menegaskan pada masa hadapan, perlu ada Dasar Penerbangan Negara kerana industri itu sangat besar. 

Khazanah telah menyerahkan permohonan rasmi kepada lembaga pengarah MAS untuk melaksanakan langkah pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilih bagi saham-saham biasa MAS. 

Apabila selesai, Khazanah akan menjadi pemegang saham biasa tunggal MAS, yang akan dinyahsenarai daripada kaunter Bursa Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain