suria

Isu MB: Pemuda PAS Cadang Jawatankuasa Krisis Diwujudkan

PETALING JAYA: Pemuda PAS mencadangkan Pakatan Rakyat (PR) mewujudkan Jawatankuasa Krisis Menteri Besar sebagai usaha menyelesaikan kemelut perebutan jawatan itu yang semakin kronik.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat, berkata, pentadbiran kerajaan Selangor kini berada dalam keadaan tidak stabil apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat keahliannya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu.

Menurutnya, cadangan bagi mewujudkan jawatankuasa tersebut dilontarkan supaya pihak lain tidak mengambil kesempatan terhadap krisis berkenaan termasuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Setelah berlaku pemecatan ini, maka cadangan Pemuda PR untuk mengadakan pertemuan lapan mata (termasuk Abdul Khalid) sudah menjadi pertemuan 6 mata. Pemuda PAS difahamkan bahawa pertemuan ini akan dilaksanakan oleh pimpinan utama PR.

"Berdasarkan pengalaman krisis Kerajaan Negeri Perak 2009, masa berlalu pantas pada waktu ini. Masa boleh menjadi pedang kepada PR. Pemuda PAS mendesak agar konflik ini dapat ditangani dengan segera secara harmoni melalui Majlis Presiden PR.

"Pemuda PAS bersedia menerima apa juga arahan melalui kepimpinan tertinggi PAS bagi menyelesaikan kemelut ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kepincangan dalam PR bermula apabila PKR mengumumkan untuk menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun pertukaran yang diumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditentang oleh pemimpin tertinggi PAS kerana tidak mempunyai alasan kukuh.

Rentetan daripada itu, pada Sabtu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan keputusan parti untuk memecat Abdul Khalid sebagai ahlinya, manakala menteri besar terbabit menegaskan untuk kekal di kerusi panas berkenaan.

Tambah Suhaizan, Pemuda PAS di seluruh negara diharap bertenang dan bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan termasuk arahan dari ibu pejabat serta tidak menyulitkan lagi keadaan.

"Dalam mesyuarat Pemuda PAS pada Sabtu, kami telah bersetuju untuk menyokong usaha memperteguhkan PR seperti yang ditegaskan oleh Majlis Syura Ulama (MSU) selain bersedia menjadi pendamai kepada krisis yang sedang berlaku," jelasnya.


 


PAS, PKR, Selangor

Artikel Lain