suria

MH17: ICAO Tubuh Pasukan Khas Tangani Isu Keselamatan Penerbangan

Tony Tyler

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan menubuhkan sebuah pasukan petugas peringkat tinggi, dianggotai pakar negara dan industri, bagi menangani isu keselamatan penerbangan awam dan negara berikutan bencana yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17.

Komitmen ICAO ini terkandung dalam perisytiharan yang dibuat pada mesyuarat Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), ICAO, Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa dan Pertubuhan Perkhidmatan Pandu Arah Penerbangan Awam (CANSO) di Montreal, Kanada, Selasa.

Perisytiharan itu memberi komitmen kepada pihak berkenaan untuk menilai semula proses berkaitan penerbangan di ruang udara zon yang dilanda konflik, kata IATA dalam kenyataannya.

Mesyuarat peringkat tinggi itu dipanggil ICAO bagi membincangkan tindakan yang mampu mengekang potensi risiko terhadap penerbangan awam di zon yang dilanda sengketa.

Ketua pengarah dan ketua pegawai eksekutif IATA Tony Tyler berkata: "Tragedi MH17 yang ditembak jatuh merupakan suatu serangan terhadap keseluruhan industri pengangkutan udara. Syarikat penerbangan di seluruh dunia marah dengan perbuatan itu. Pesawat udara awam adalah kelengkapan keamanan. Ia tidak sepatutnya menjadi sasaran senjata perang. Perkara ini termaktub dalam undang-undang antarabangsa melalui Konvensyen Chicago."

Kenyataan itu berkata pasukan petugas berkenaan akan mengkaji bagaimana maklumat yang berkaitan boleh dikumpul dan disebar secara berkesan.

Katanya ICAO diminta menangani keperluan memasukkan ke dalam undang-undang, melalui rangka kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), langkah untuk mengawal selia reka bentuk, pembuatan dan penggunaan persenjataan antipesawat udara moden.

ICAO juga diminta menangani perkara berkaitan saluran yang selamat dan mampu berfungsi sepanjang masa dalam menyampaikan maklumat tentang ancaman kepada pihak berkuasa penerbangan awam dan industri.

"Kami meminta ICAO melaksanakan dua tugas kritikal. Pertama, dan paling mendesak, adalah memastikan kerajaan menyediakan kepada syarikat penerbangan maklumat lebih baik, untuk digunakan dalam urusan membuat penilaian terhadap risiko daripada pelbagai ancaman yang dihadapi mereka.

"Tugas kedua juga tidak kurang pentingnya, tetapi melibatkan jangka masa lebih panjang. Kami akan mencari jalan melalui undang-undang antarabangsa untuk mewajibkan kerajaan mengawal dengan lebih berkesan senjata yang boleh mendatangkan bahaya kepada penerbangan awam. Jika ini diwujudkan, maka industri kita akan menjadi lebih selamat," kata Tyler.

Dalam usaha meningkatkan keyakinan industri terhadap pasukan petugas itu, Tyler memberi jaminan kepada orang ramai bahawa perjalanan melalui udara adalah masih selamat.

"Setiap hari, kira-kira 100,000 penerbangan berlepas dan mendarat dengan selamat. Sistem yang menyokong penerbangan global menghasilkan kaedah pengangkutan paling selamat, yang pernah diketahui manusia.

"Ia tidak memerlukan pembedahan secara besar-besaran. Tapi, kita perlu mengenal pasti dan merapatkan jurang tertentu dalam sistem sedia ada, walaupun ia jarang-jarang menjadi penyebab berlakunya kesilapan dan tragedi dahsyat," katanya.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777 itu dipercayai ditembak jatuh di ruang udara negara yang mengalami pergolakan.


ICAO, IATA, MH17, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain