suria

Pelumba Basikal Negara Terselamat, Pemandu Lori Maut Dalam Nahas Lebuhraya Plus

SEREMBAN: Pelumba basikal negara yang akan menyertai Sukan Komenwel di Glasgow, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, nyaris maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandunya merempuh sebuah lori di KM247, Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran hentian sebelah Senawang dekat sini, malam Isnin.

Pemandu lori berkenaan, Abas Baharom, 44, bagaimanapun terbunuh di tempat kejadian pada kira-kira 11.30 malam itu setelah mengalami kecederaan serius dan putus betis kanan.

Lori 'bonded' 3 tan yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ekoran tayar belakangnya pancit lalu terbalik dan melintang di tengah-tengah lebuh raya.

"Ketika kejadian saya sedang memandu di lorong tengah dan tidak menyedari sebuah lori terbalik di hadapan berikutan keadaan lebuh raya yang gelap.

"Saya tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa setelah dia keluar dari lorinya yang melintang di tengah lebuh raya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Ekoran kejadian itu, Muhammad Fauzan, 28, berkata, isterinya Norasikin Omar, 31, turut mengalami kecederaan di muka serta badan, manakala keretanya mengalami kerosakan teruk.

"Bagaimanapun saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan bersyukur saya dan isterinya terselamat," katanya menambah ketika kejadian dia dan isteri sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pasukan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Melaka.

Mohd Fauzan dijadualkan berlepas ke Glasgow, pada Selasa.

Sementara itu, di lokasi sama, bahagian kaki mangsa yang terputus itu telah tercampak ke seberang lebuhraya sebelum menembusi cermin hadapan kereta Proton Inspira yang dinaiki Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Datuk Mohamad Muda yang dalam perjalanan ke Melaka bersama pemandunya, Mat Reeza Mat Jusuh.

Menurut Mat Reeza, bahagian kaki yang terputus itu telah mengenai bahu kanan Mohamad dan beliau berjaya mengawal kenderaan daripada terbabas sebelum berhenti di tepi lebuh raya.

Mayat mangsa dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat dan menerima rawatan.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan punca kejadian masih disiasat.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain