suria

MH17: Australia Beri Tekanan Kepada PBB Mahu Siasatan Penuh

MELBOURNE: Menteri Luar Australia Julie Bishop akan berlepas ke Amerika Syarikat malam Ahad untuk berkempen bagi siasatan antarabangsa mengenai nahas membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penebangan MH17, yang turut mengorbankan 28 warga Australia dalam kalangan 298 penumpang dan anak kapal yang terbunuh.

Bishop akan mengetuai usaha Australia untuk mendesak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapatkan akses yang bebas dan terbuka di lokasi kemalangan MH17, menurut laporan ABC News.

Pesawat penumpang dipercayai telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu pemukaan bumi ke udara yang menyaksikan tubuh-tubuh dan serpihan yang terbakar bertaburan di seluruh padang kawasan bergolak Ukraine.

Enam pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri Australia dan Perdagangan telah dihantar ke Kiev dan banyak lagi sedang dalam perjalanan termasuk lima anggota pasukan tindakan kecemasan dan juga pasukan penyiasat Polis Persekutuan Australia.

Bishop berkata rayuan Kerajaan Australia akan dikemukakan kepada PBB.

"Saya telah bercakap dengan wakil kami di PBB dan saya faham bahawa gesaan kami resolusi terpakai akan dibahaskan dalam minggu depan," kata Bishop sebagaimana dipetik ABC News.

"Saya juga akan ke Washington untuk bertemu dengan pakar-pakar keselamatan dan perisikan untuk memastikan bahawa Australia diberi taklimat penuh mengenai perisikan antarabangsa yang boleh didapati berhubung perkara ini kerana kita berazam untuk memastikan apa yang berlaku, kenapa ia berlaku, bagaimana ia berlaku dan siapa yang bertanggungjawab," Menteri Luar itu dilaporkan sebagai berkata.


MH17, PBB, Australia

Artikel Lain