suria

Tiga Pejabat Exco N. Sembilan Dipecah Masuk

Pejabat Exco, pejabat PTG, JKM Seremban dipecah masuk.. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli melihat tempat kejadian yang dipecah masuk pada September 2013. (gambar fail)
SEREMBAN: Tiga pejabat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco) dan sebuah setor di Bangunan Wisma Negeri di sini, dipecah masuk petang semalam.

Ketiga-tiga pejabat berkenaan yang terletak berhampiran ialah pejabat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Jalaluddin Alias, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri Abd Razak Ab. Said dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri Tun Hairudin Abu Bakar.

Ketiga-tiga pejabat dan setor berkenaan didapati berselerak setelah diselongkar individu yang tidak dikenali. 

Jalaludin berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang daripada kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 6 petang semalam. 

"Kejadian itu disedari seorang kakitangan pejabat SUK yang membuat kerja lebih masa pada 3 petang. Saya kehilangan iPad jenis Apple dan tab jenis Samsung, manakala setakat ini saya belum pasti adakah terdapat dokumen yang hilang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jalaludin berkata laporan polis telah dibuat oleh unit keselamatan pejabat SUK semalam dan polis kini sedang menjalankan siasatan.

Sebelum ini, pada 25 September 2013, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Datuk Shamsulkahar Mohd Deli di bangunan yang sama dilaporkan dipecah masuk. 


pejabat Exco

Artikel Lain