suria

MH17: Misi Malaysia Dapatkan Bantuan Akses Penuh Ke Kawasan Nahas

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berlepas ke Ukraine malam Sabtu. Turut bersamanya Datuk Azaharuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Md Nor Yusof. -foto THE STAR
SEPANG: Malaysia dengan perasaan berbaur kebimbangan cuba untuk mendapatkan bantuan memasuki kawasan di mana pesawat penerbangan MH17 terhempas, walaupun pemberontak merampas barang-barang, 'merompak' mayat-mayat dan menghalang penyiasat daripada memasuki kawasan tersebut.

Seorang ahli pemantau pasukan antarabangsa menyifatkan kawasan kemalangan itu sebagai 'tempat kejadian jenayah paling besar di dunia'.

Beliau juga menegaskan keperluan supaya ramai 'petugas profesional' dapat berada di tapak nahas dalam tempoh yang 'sangat segera'.

Memahami keperluan itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berlepas ke Ukraine malam Sabtu untuk menyertai Bantuan Bencana Malaysia dan Pasukan Penyelamat serta bertemu rakan sejawatannya Maksym Burbak untuk mendapatkan bantuan akses ke kawasan terbabit. 

Pada sidang media beberapa jam sebelum berlepas, beliau menegaskan kepentingan untuk memelihara kawasan nahas.

Liow berulang kali berkata Malaysia amat bimbang dengan kerja yang dilakukan di kawasan kemalangan memandangkan pasukan penyiasatan Malaysia masih belum mendapat kebenaran untuk memasuki kawasan itu.

"Sebab itulah kami merayu sokongan dunia untuk memastikan bahawa kawasan kemalangan dan bukti yang ada tidak diusik agar keadilan dapat ditegakkan.

"Kami harap kami dapat memasuki kawasan itu seperti yang dijanjikan kerajaan Ukraine," katanya.

Turut bersama beliau termasuk Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azaharuddin Abdul Rahman, Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Md Nor Yusof.

Liow berkata sebarang tindakan untuk tidak membenarkan pasukan penyiasatan khas Malaysia daripada memasuki kawasan kemalangan Malaysia Airlines penerbangan MH17, adalah tidak berperikemanusiaan. 

Beliau berkata ini disebabkan Malaysia masuk ke kawasan itu atas alasan kemanusiaan, dan itulah sebabnya negara ini membuat gesaan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Kami juga meminta pihak berkuasa Ukraine untuk menyediakan kepada kami koridor selamat dan ini mesti dilakukan dengan pantas untuk mendapatkan mayat mangsa.

"Perkara ini sangat penting dan itulah sebabnya kerajaan Malaysia menghantar saya ke Ukraine untuk mempercepatkan kerja sepantas mungkin," katanya.

Beliau menambah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil beberapa tindakan proaktif supaya semua mayat mangsa dan kotak hitam segera ditemui.

"Beliau (Najib) menghubungi banyak pemimpin termasuk Presiden Ukraine, Putin (Presiden Rusia), David Cameron (Perdana Menteri United Kingdom) dan Ban Ki-moon (Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan merayu kepada dunia agar kami memperoleh laluan selamat untuk memasuki kawasan kemalangan. 

"Putin telah memberi jaminan untuk melakukan yang terbaik bagi membantu kami," katanya.

Liow berkata rakyat Malaysia berasa amat marah dan sedih berhubung tragedi ini dan menggesa supaya keganasan dihentikan dan kehidupan dihormati.

"MH17 telah menjadi isu geopolitik. Namun begitu kita tidak harus lupa bahawa ini adalah tragedi kemanusiaan. Beberapa hari selepas pesawat ini terhempas, mayat 298 orang di dalam pesawat ini masih belum ditemui.

"Warganegara dari sebelas negara - tidak seorangpun daripada mereka terlibat dalam konflik di Timur Ukraine - tidak dapat disemadikan. Kehidupan mereka diragut oleh keganasan; kini keganasan juga menghalang mereka daripada diberi penghormatan terakhir. Ini tidak boleh dibiarkan berterusan.

Pesawat MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine. Kapal terbang itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 kru.

Kiev, MH17, tapak nahas

Artikel Lain