suria

PM Arah ESSCom Kaji Semula Sistem Kawalan

KUANTAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta meminta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) supaya mengkaji semula sistem kawalan di sepanjang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dengan lebih terperinci supaya tidak lagi mudah dibolosi musuh.

Beliau berkata insiden pencerobohan terbaharu di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna malam tadi menunjukkan masih ada beberapa kelemahan dalam penempatan anggota dan perancangan keselamatan di lapangan.

"Saya minta ESSCom kaji semula sistem kawalan mereka secara terperinci, kalau tidak cukup bilangan anggota, kena tambah.

"Misalnya dalam kejadian di resort semalam, bilangan anggota tidak cukup kerana resort itu besar dan ini menunjukkkan ada beberapa kelemahan dalam penempatan dan perancangan keselamatan on the ground berdasarkan tiap-tiap resort dalam ESSZone," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, Ahad.

Najib diminta mengulas insiden pencerobohan terbaharu di Semporna yang mengakibatkan seorang anggota polis Marin terbunuh dan seorang lagi hilang dipercayai diculik.

Perdana Menteri berkata kesemua tugas untuk mengatur perancangan keselamatan yang lebih rapi dengan perubahan penempatan bilangan anggota keselamatan kelak akan diserahkan kepada Komander ESSCom.

Pada masa sama, Najib menyifatkan ancaman melibatkan pelbagai kumpulan dari Selatan Filipina sebagai perkara serius.

Justeri itu, beliau meminta polis mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyiasat pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan adanya penglibatan orang dalam termasuk penduduk sehingga membolehkan pihak musuh menghidu pergerakan pihak keselamatan dan membolosi kawalan untuk melakukan serangan hendap.



ESSCom, Pulau Mabul, Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain