suria

Samsolbari Jamali
JOHOR BAHARU: Umno Johor akan mempertahankan langkah kerajaan negeri mengubah cuti mingguan kepada Jumaat, walaupun MCA negeri mahu Ahad dikembalikan sebagai hari cuti mingguan negeri.

Ketua Penerangannya Datuk Samsolbari Jamali berkata, Umno menyokong keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri dan sehingga ini tiada tanda-tanda Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengubahnya. 
 
"Kita (Umno Johor) yakin kerajaan negeri akan 'stands firm' (tegas) di dalam menjadikan Jumaat sebagai cuti mingguan di Johor," katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang kepada Bernama, hari ini.

Samsolbari mengulas kenyataan Ketua MCA Gelang Patah Jason Teoh yang juga anggota Jawatankuasa Pusat parti baru-baru ini tentang kempen parti itu untuk mengutip tandatangan daripada masyarakat bagi perubahan hari cuti mingguan itu di Johor. 

Menurut Teoh, bagi sektor ekonomi yang sedang pesat membangun di Johor terutamanya di Iskandar Malaysia yang giat menarik pelabur, cuti hujung minggunya mestilah sama dengan cuti hujung minggu masyarakat antarabangsa. 

Bermula 1 Jan tahun ini, cuti hujung minggu di Johor telah ditukar kepada Jumaat dari Ahad sebelumnya berikutan titah daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. 

Samsolbari mencadangkan sektor swasta di Johor turut mengambil cuti mingguan pada Jumaat bagi membolehkan ibu bapa yang bekerja di sektor swasta meluangkan lebih masa dengan anak-anak mereka yang bersekolah. 

Pas Johor telah pun menyatakan sokongannya Jumaat dijadikan cuti mingguan di Johor, walaupun ini tidak dipersetujui oleh rakan Pakatan Rakyat (PR), DAP. 


Artikel Lain