suria

Umat Islam Elak Terjebak Militan Dan Sikap Keterlaluan - PM

Najib menyampaikan sumbangan kepada warga emas, fakir miskin dan ibu tunggal selepas menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Al-Muhajirin, Batu Lapan, Lepar di Pekan, malam Sabtu. Foto BERNAMA

PEKAN: Umat Islam di negara ini dinasihat agar tidak terjebak dengan kegiatan militan dan kefahaman yang keterlaluan kerana hanya akan memburukkan imej agama Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sikap militan dan keterlaluan dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai atas nama agama adalah ditegah sama sekali.

"Sedangkan dalam peperangan pun kita tidak dibenar membunuh nyawa orang awam apatah lagi mengambil nyawa sendiri dan orang yang tidak berdosa. Sudah tentu perbuatan itu akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada keluarga tetapi agama Islam sendiri," katanya ketika berucap di majlis penyampaian bantuan kepada warga emas dan ibu tunggal di Masjid Al-Muhajirin, Batu 8, Lepar pada Sabtu.

Terdahulu, beliau menunaikan solat Isyak dan terawih berjemaah bersama-sama penduduk kampung.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, berkata Islam sentiasa mengalakkan umatnya bersederhana dalam segala aspek kehidupan dan ummah di negara ini seharusnya bersyukur kerana mampu hidup dalam keadaan aman selain memiliki kerajaan yang mampu melakukan perubahan menyeluruh.

Beliau berkata, apabila keadaan aman dan stabil, kerajaan mampu merencana pertumbuhan negara.

Selain itu, katanya, kesederhaan yang diamalkan Malaysia mendapat pujian negara Islam lain, termasuk Arab Saudi, seperti jemaah haji Malaysia adalah antara yang terbaik dan harus dicontohi.

"Ia mencerminkan kefahaman kita terhadap agama Islam amat baik kerana mampu mematuhi undang-undang dan peraturan serta saling menghormati.

"Jika kita mengamalkan Islam sedemikian, maka orang akan lebih hormati kita," katanya.

militan, Najib Tun Razak

Artikel Berikut

Artikel Lain