suria

Pusat Sehenti Untuk Gelandangan Akan Dibina

Tindakan golongan gelandangan yang tidur di tepi-tepi jalan telah menjejaskan imej bandar raya Kuala Lumpur. - foto KAMARUL ARIFFIN/THE STAR

PETALING JAYA: Pusat sehenti akan dibina di sekitar bandar raya Kuala Lumpur untuk menyediakan tempat perlindungan kepada golongan gelandangan dan miskin bandar.

Menurut Kementerian Wilayah Persekutuan, pihaknya telah bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengenal pasti lokasi sesuai untuk membina pusat sehenti tersebut.

"Pusat sehenti tersebut akan bertindak sebagai tempat perlindungan berkonsepkan 'Anjung Singgah' selain dijadikan pusat pendaftaran bersepadu untuk golongan gelandangan. Ia akan dilengkapi beberapa kemudahan lain seperti penjagaan kesihatan," menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu.

Kenyataan itu turut menyebut, kementerian dan DBKL tidak akan mengumumkan langkah-langkah seperti mengenakan denda terhadap pemberi dan peminta sedekah serta larangan kepada Soup Kitchens tanpa mengambil kira jalan penyelesaian yang sepatutnya. 

"Tiada sebarang persoalan yang timbul mengatakan bahawa kementerian dan DBKL mahu menghentikan atau menghalang mana-mana pihak serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus menderma dan melakukan kerja-kerja amal seperti kebiasaaan. 

"Cuma kaedah dan lokasi yang tidak sesuai perlu diambil kira. Ini bagi mengelakkan sebarang permasalahan akan datang timbul seperti keracunan makanan akibat kekotoran, kencing tikus, masalah kebersihan yang berlarutan dan kecacatan pemandangan kawasan tumpuan pelancong," katanya.

Tengku Adnan menjelaskan pengumuman mengenai perkara tersebut yang dimuat naik dalam laman Facebooknya telah disalah ertikan pelbagai pihak.

Namun beliau berkata, segala pendapat berhubung perkara itu amat dialu-alukan.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan menghalang mana-mana NGO untuk menjalankan kerja-kerja amal dan membantu golongan gelandangan dan miskin di ibu kota. Saya juga sedar pihak mengkritik saya berhubung isu ini," katanya.

Tengku Adnan berkata, beliau berharap agar orang ramai mengambil sedikit masa untuk memahami apa yang dilakukannya adalah bertujuan untuk membersihkan bandar raya itu.


Artikel Berikut

Artikel Lain