suria

Soup Kitchens Tidak Dibenarkan Sekitar 2km Dari Pusat Bandar

Sukarelawan Soup Kicthen memberikan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar ibu negara.
KUALA LUMPUR: Soup Kitchens yang menyediakan makanan dan minuman kepada golongan gelandangan tidak dibenarkan beroperasi di sekitar radius 2 kilometer dari Lot 10, yang meliputi sebahagian besar pusat bandar, berkuatkuasa serta-merta, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Aktiviti seperti ini hanya menggalakkan orang ramai untuk menjadi gelandangan dan menganggur. Terdapat ramai orang seperti itu yang kami bantu untuk dapatkan pekerjaan tetapi kembali ke tabiat lamanya kerana mereka menyifatkan ia lebih mudah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perlantikan anggota jawatankuasa badan penasihat Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Wilayah Persekutuan di Menara DBKL di sini Khamis.

Katanya, tindakan tersebut menyebabkan pembuangan sampah di sekitar bandar raya itu dan menarik kehadiran pemungut sampah yang membawa penyakit.

"Kami mempunyai pelbagai jenis masalah berkaitan sampah di bandar ini dan membelanjakan hampir RM90 juta setahun untuk memunggut bahan buangan itu. Saya tidak melihat tindakan saya keterlaluan tetapi ia perlu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berdisiplin.

Tengku Adnan berkata, bagaimanapun, Soup Kitchens belum dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara tersebut dan mesyuarat dengan mereka bagi membincangkan perkara ini akan diadakan segera.

Artikel Berikut

Artikel Lain