suria

ASP Bebas Tuduhan Terima Suapan RM4,000

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamismelepas dan membebaskan seorang pegawai polis berpangkat ASP daripada tuduhan menerima suapan RM4,000, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha membenarkan rayuan ASP Azmi Abdullah, 54, dengan mengenepikan sabitan serta hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Ogos 2012.

Mahkamah turut memerintahkan denda RM20,000 yang telah dibayar oleh Azmi serta wang ikat jamin berjumlah RM8,000 dikembalikan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, Azmi yang merupakan bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang didakwa menerima untuk dirinya suapan wang tunai RM4,000 daripada seorang lelaki.

Ia sebagai dorongan untuk menukar kesalahan lebih ringan ke atas anak perempuan kepada rakan lelaki itu yang ditangkap kerana memiliki satu tiub straw berisi dadah ketamin serta menukar ujian saringan air kencing yang positif dadah kepada negatif.

Azmi didakwa melakukan kesalahan itu di bilik pejabatnya (semasa kejadian) di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Serdang, Lorong LP 2A/1 Taman Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Serdang.

Pegawai polis itu yang kini digantung tugas, didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Dalam penghakimannya, Hakim Ghazali berkata kredibiliti saksi kesembilan pendakwaan iaitu lelaki berkenaan boleh dipersoal dan keberangkalian beliau berbohong semasa memberi keterangan juga tidak boleh dinafikan memandangkan tiada saksi melihat lelaki itu meletakkan wang di atas meja Azmi.

Mengenai pandangan Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah bahawa saksi ke-10 pendakwaan iaitu pegawai penyiasat berkemungkinan bercakap bohong ketika memberi keterangan dan cenderung untuk menyebelahi Azmi, Ghazali berkata ia adalah pendapat yang tidak disokong oleh mana-mana keterangan lain.

"Hakim Mahkamah Sesyen juga berpendapat tertuduh cuba membangkitkan pembelaan alibi tetapi saya berpendapat hakim itu telah tersalah arah dan memandangkan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, hakim Mahkamah Sesyen sepatutnya tidak perlu memanggil tertuduh untuk membela diri.

"Saya mendapati pembelaan tertuduh selari dengan pembelaan yang diletakkan pada saksi pendakwaan. Justeru saya membenarkan rayuan tertuduh serta mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Sesyen ke atasnya," katanya.

Azmi diwakili peguam Salim Bashir sementara Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Lokman Kasim hadir bagi pihak responden.


Mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain