suria

Kanji Masjid At Taufiq, Kulim Dapat Sambutan

KULIM: Kalau di Kuala Lumpur, bubur lambuk Masjid Kampung Baru menjadi begitu terkenal, kanji atau bubur lambuk yang disediakan di Masjid At-Taufiq, Kampung Air Merah di sini tidak kurang mendapat sambutan.

Dalam tempoh sejam, lebih 500 bungkusan habis diagihkan.

"Malah ada juga yang sanggup datang dari Baling dan Perlis semata-mata mahu merasai kanji masjid ini," kata tukang masaknya Zainal Abidin Ahmad, 50.

Beliau berkata beliau beliau menyediakan bubur itu dengan dibantu sekumpulan sukarelawan.

"Untuk mendapatkan bahan seperti daging dan tulang lembu, kami membuat tempahan awal sebelum bulan puasa di pasar Kulim dan Bukit Mertajam.

"Untuk menyedapkan lagi rasa kanji yang disediakan, bahan seperti rempah ratus yang segar perlu dimasak dengan peraturan tertentu," katanya mengenai rahsia kesedapan bubur lambuk tersebut.

Zainal Abidin berkata mereka memulakan tugas menyediakan bubur lambuk seawal 8 pagi dan memasaknya selama lebih tiga jam.

"Masjid ini memperuntukkan RM10,000 sepanjang bulan puasa untuk kami memasak 15 kilogram beras setiap hari bagi dijadikan kanji," katanya.

Beliau berkata sejak tiga tahun lalu, 15,000 bungkusan kanji telah diagihkan.

Kulim, Kanji

Artikel Lain