suria

Macau Scam: Dua Rakyat Taiwan Ditahan

Telefon dan peralatan komputer yang berjaya dirampas dengan tertumpasnya sindiket penipuan "Macau Scam" di daerah Kluang pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

JOHOR BAHARU: Polis Johor memberkas dua lelaki warga Taiwan dan melumpuhkan kegiatan penipuan "Macau Scam" yang beroperasi dari sebuah hotel di Kluang.

Bagaimanapun, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata pihaknya sedang memburu seorang lagi lelaki warga Taiwan berusia 35 tahun yang dipercayai dalang dalam kegiatan penipuan itu.

"Sindiket akan menyamar sebagai Pegawai Bank atau Pegawai Jabatan Kerajaan untuk menipu mangsanya," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Selasa.

Anggota sindiket yang menyamar itu akan menelefon dan mendakwa mangsa terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram dan pihak bank akan membekukan akaun mereka, katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, oleh kerana bimbang akaun mereka berdepan kemungkinan dibekukan, mangsa akan membuat transaksi pemindahan wang mengikut arahan anggota sindiket itu.

Beliau berkata sindiket itu membuat panggilan dari pusat panggilan menggunakan teknologi "Voice Over Internet Protocol" (VOIP) bagi memaparkan nombor telefon rasmi bank-bank dan jabatan kerajaan.

Mangsa sindiket ini terdiri daripada rakyat Malaysia dan asing dan beliau meminta sesiapa yang pernah menjadi mangsa penipuan sindiket ini supaya tampil kehadapan untuk membantu siasatan polis.

Kedua-dua lelaki Taiwan terbabit katanya, direman sehingga esok dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis turut merampas pelbagai barangan daripada sindiket termasuk 47 unit modem, tiga unit printer, enam buah komputer riba, 16 unit telefon tanpa wayar, empat keping kad ATM, empat unit peranti internet jalur lebar dan 20 helai kertas catitan.

Sepanjang Piala Dunia pula katanya, Polis Johor telah menjalankan Ops Soga bagi membanteras kegiatan perjudian dan daripada 13 Jun hingga semalam, pihaknya telah melakukan 248 serbuan.

Polis juga menahan 59 lelaki dan seorang wanita yang dipercayai menjadi ejen atau bookie kepada sindiket pertaruhan, katanya.

Menurut Mohd Mokhtar, jumlah nilai pertaruhan yang berjaya digagalkan oleh pihak polis mencecah RM1.4 juta dan wang tunai yang dirampas adalah sebanyak RM95,093 dan dolar Singapura 6,526 (RM16,968).

Mengenai Ops Cantas pula, di dalam tempoh enam bulan tahun ini, sebanyak 688,305 orang telah diperiksa dengan 11,244 ditangkap, kata beliau.

Selain itu katanya, sebanyak 4,223 telah dituduh di mahkamah kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

Polis Johor menurutnya, turut berjaya merampas 10 pucuk pistol, 25 senjata api tiruan, lima senapang angin, 4,011 butir peluru dan 438 pelbagai senjata berbahaya yang lain.

Sebanyak 415,917 kenderaan pelbagai jenis juga telah diperiksa sepanjang tempoh enam bulan itu dan merampas 598 kenderaan yang disyaki digunakan dalam aktiviti jenayah, kata Mohd Mokhtar.

Macau Scam

Artikel Berikut

Artikel Lain