suria

Bekas Pengarah Syarikat Kena Penjara 1,942 Tahun, Denda RM1.596 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah syarikat, Lim Long Yew, dijatuhi hukuman penjara berjumlah 1,942 tahun dan denda RM1.596 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini bagi 481 pertuduhan pengubahan wang haram dan mengambil deposit secara haram melibatkan kira-kira RM24 juta, empat tahun lalu.

Bagi kes sama, seorang lagi bekas pengarah, Leong Guan Yeu, 47, dijatuhi hukuman penjara berjumlah 139 tahun dan denda RM180,000 bagi sembilan pertuduhan mengambil deposit secara haram dan 130 pertuduhan pengubahan wang haram.

Sementara syarikat berkenaan, Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd, didenda RM180,000 bagi sembilan pertuduhan mengambil deposit secara haram.

Pada 2010, Lim, 43, dituduh memindahkan keuntungan daripada aktiviti haram itu daripada akaun peribadinya kepada akaun syarikat serta menerima dan memasukkan wang diperoleh secara haram ke dalam akaun syarikat di beberapa lokasi antara 19 Jun 2008 dan 19 Oktober 2009.

Lim turut mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan mengambil deposit secara haram dalam satu kes saman bagi pihak syarikat - Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd - atas kapasitinya sebagai pengarah.

Leong pula dituduh menerima, memindahkan dan memegang wang keuntungan daripada aktiviti haram itu dalam akaun syarikat antara 18 Julai 2008 dan 19 Oktober 2009.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh semasa menjatuhkan hukuman terhadap mereka berkata pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim mendapati mereka bersalah terhadap semua 627 pertuduhan selepas mendengar keterangan 37 saksi pendakwa raya dan tujuh saksi pihak pembelaan.

Lim dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM20,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu bagi setiap daripada sembilan pertuduhan mengambil deposit secara haram.

Lim juga dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM3,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda itu bagi setiap daripada 472 pertuduhan pengubahan wang haram.

Hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari hari ini. Beliau juga memerintahkan Lim menjalani hukuman penjara enam tahun terlebih dahulu dan diikuti dengan hukuman penjara empat tahun.

Dengan itu, Lim yang diwakili peguam Hariharan Tara Singh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.




Artikel Berikut

Artikel Lain