suria

Lelaki Terkena Bom Botol Meninggal Dunia

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemandu lori yang cedera parah dan melecur selepas rumahnya di Taman Pinggiran Alma, Machang Bubok dibaling dengan bom botol di sini Isnin lepas, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), George Town pada Isnin (hari ini).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata, berikutan itu, pihaknya membuka siasatan kes berkenaan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

"Dalam kejadian itu, mangsa P.Vijayan, 56, dan isterinya P. Amutha,42 , mengalami kecederaan parah serta melecur di badan dan muka selepas dua lelaki yang memakai topi kaledar masuk ke dalam rumah mereka dan membaling molotov cocktail (bom botol).

Ia meletup dan terbakar serta terkena pasangan suami isteri berkenaan sebelum  dua suspek terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan rumah mangsa," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya pasangan suami isteri itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan  lanjut sebelum Vijayan dipindahkan ke HPP berikutan keadaannya yang kritikal manakala isterinya dilaporkan stabil.

Mazlan berkata susulan kejadian itu polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 31 tahun pada hari yang sama bagi membantu siasatan dan mereka kini direman sehingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan awal kejadian itu dipercayai berpunca akibat tidak puas hati suspek terhadap anak lelaki mangsa berkaitan perniagaan dan mereka saling mengenali.

Kita percaya sasaran perbuatan membaling molotov cocktail (bom botol) adalah anak mangsa  kerana lelaki berkenaan turut tinggal di rumah yang sama," katanya.

Katanya lelaki berusia 31 tahun yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala rakannya tiada rekod sebelum ini.

Pulau Pinang

Artikel Lain