suria

Ibu Lima Anak Sambut Hari Lahir Tema Piala Dunia

Noorshida (tengah memakai jersi Sepanyol) meraikan sambutan hari lahirnya bertemakan Piala Dunia bersama rakan-rakan dan keluarganya.
KUALA LUMPUR: Bahang kehangatan Piala Dunia FIFA 2014 semakin hampir dan salah seorang peminatnya, Noorshida Ismail kini tidak sabar untuk menyaksikan kejohanan bola sepak berprestij dunia itu.

Ibu kepada lima orang anak itu mengadakan sambutan hari lahirnya bertemakan Piala Dunia bersempena menghitung detik pembukaan kejohanan tersebut.

"Saya menggemari pelbagai tema untuk sambutan hari lahir saya dan bersempena dengan Piala Dunia pada tahun ini, ia menjadi tema sempurna untuk majlis saya pada kali ini. Saya suka menari dan suami saya amat meminati bola sepak.

"Bola sepak adalah lebih kepada permainan muzik di Brazil - pergerakan kaki pemain bola kelihatan seperti samba. Jadi ia permainan sempurna - seperti Brazil dan Piala Dunia," katanya.

Kejohanan bola sepak terbesar di dunia itu yang diadakan di Brazil akan bermula beberapa hari saja lagi dan bahang kehangatannya mula dirasai di seluruh dunia.

Bagi mereka yang berkunjung ke Brazil semata-mata untuk menyaksikan kejohanan itu, parti samba sudah bermula.

Suami kepada Noorshida, B.Thangaraj dan tujuh lagi rakan mereka akan berlepas ke negara Amerika Latin itu untuk menyaksikan kejohanan tersebut.

Noorshida berkata, dia ingin menyaksikan kejohanan itu di depan mata tetapi memutuskan untuk memberikan peluang kepada suaminya untuk berseronok bersama rakan-rakannya.

"Kami sebagai isteri mahu memberikan mereka peluang, ia percutian untuk kaum lelaki. Mungkin kami sekeluarga akan bercuti ke Brazil pada tahun hadapan.

"Saya menyaksikan perlawanan itu di televisyen bersama anak-anak saya yang juga meminati bola sepak," katanya.

Dan ketika ditanya adakah beliau mahu raja samba menjadi juara dunia pada tahun ini?

"Saya meminati Sepanyol dan Lionel Messi ( pemain Argentina) tetapi saya berharap Brazil akan menang.

"Saya percaya Brazil adalah sebuah negara yang bersemangat dan anda boleh lihat dalam corak permainan mereka. Oleh itu, mereka digelar raja samba!," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keseronokan untuk menyaksikan kejohanan Piala Dunia buat pertama kalinya, Thangaraj berkata, ia peluang sekali seumur hidup.

"Saya sentiasa mengimpikan untuk menyaksikan pasukan Brazil di depan mata sejak kecil, jadi ketika mereka memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia, saya dan rakan-rakan berhasrat untuk pergi ke Rio.

"Brazil merupakan raja bola sepak pada era 60-an, mereka amat mengancam terutamanya Pele dan kesemua gol yang dijaringkannya," katanya.




Piala Dunia, Brazil

Artikel Berikut

Artikel Lain