suria

Bakal Calon SPM Hilang Dipercayai Ikut Teman Lelaki

-Gambar hiasan
ALOR SETAR: Seorang bapa kepada remaja perempuan berumur 17 tahun di Jalan Bunga Raya di sini merayu supaya anaknya pulang ke pangkuan keluarga setelah dipercayai lari mengikut teman lelakinya sejak 1 Jun lalu. 

Che Ahmad Din, 54, berkata anak tirinya itu Nor Azlin Azelan yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini tidak pulang ke rumah selepas menaiki sebuah kereta yang menunggu di hadapan rumahnya pada pukul 3 pagi. 

Kehilangan Nor Azlin disedari ibunya Sabarashah Musa, 47, selepas melihat anak perempuannya itu tiada di dalam bilik. 

"Jiran yang duduk berhampiran rumah memberitahu mereka nampak anak saya memanjat pagar dan menaiki sebuah kereta yang menunggu di hadapan rumah dalam keadaan tergesa-gesa. 

"Dia keluar membawa kad pengenalan serta telefon bimbitnya. Saya sudah beberapa kali cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak dijawab," katanya kepada pemberita di sini Ahad. 

Che Ahmad berkata setelah gagal menghubungi telefon bimbit anaknya itu, dia mengambil keputusan untuk keluar mencari anaknya itu sehingga ke Kuala Lumpur tetapi masih gagal mengesannya. 

"Saya syak dia telah lari mengikut teman lelakinya yang berumur 21 tahun. Sebelum ini dia pernah merancang untuk melarikan diri tetapi tidak berjaya kerana rancangannya itu telah diketahui oleh keluarga. 

"Kerana bimbangkan keselamatannya saya telah membuat laporan mengenai kehilangan anak saya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar," katanya. 

Katanya, Nor Azlin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Perak di sini, merupakan anak yang baik, suka bergurau dan bertanggungjawab dan dia berharap anaknya itu akan pulang segera ke pangkuan keluarga. 

"Ibunya tidak sihat kerana terlalu rindukannya dan sekiranya terdapat salah faham yang berlaku ia dapat diselesaikan selepas dia pulang ke rumah," katanya. 

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu supaya menghubungi pihaknya di talian 012-5297161 atau balai polis berdekatan.
calon SPM, teman lelaki

Artikel Lain