suria

Pemilik Butik Perkahwinan Maut Ditembak

Unit forensik polis memeriksa mayat Ragen yang maut ditembak di Puchong pada malam Jumaat.

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut akibat ditembak ketika keluar dari kuil di Puchong dekat sini pada malam Jumaat.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa A. Ragen, 31, ditembak ketika berjalan keluar dari kuil bersama ibu dan beberapa orang saudaranya.

Mangsa yang merupakan pemilik butik perkahwinan didakwa ke kuil bagi mendoakan kesihatan isterinya yang berada di hospital untuk melahirkan anak pertama mereka.

Saudara Ragen yang berada di lokasi kejadian di Puchong pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, Ragen maut selepas terkena empat tembakan di kaki, dada dan kepala.

"Kami masih menyiasat motif tembakan. Saksi yang berada di lokasi kejadian setakat ini mendakwa insiden itu berlaku dengan pantas serta sukar untuk mereka membuat pengecaman," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Tambahnya, polis percaya suspek telah berlari ke arah lebuh raya berdekatan sebelum menghilangkan diri.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Tembak, Polis, Puchong

Artikel Lain