suria

Bapa Bawa Anak Dua Tahun Beli Dadah Antara Ditahan Di Melaka

- Gambar hiasan
MELAKA: Seorang bapa membawa anak lelakinya berusia dua tahun ketika mahu membeli dadah, antara 72 individu yang ditahan dalam Ops Tapis di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gelam Tanjung Minyak, di sini Sabtu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata lelaki berusia 28 tahun itu menaiki motosikal bersama anaknya ke ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira 9 pagi tadi bagi membeli bekalan dadah jenis heroin untuk dirinya.

Selain itu dua wanita berusia 25 dan 30 tahun serta seorang lelaki dipercayai pengedar dadah berusia 32 tahun turut ditahan dalam operasi lebih tujuh jam bermula 5 pagi, katanya kepada pemberita, di sini.

"Polis berjaya merampas dua peket dadah dipercayai heroin dengan berat kira-kira 210 gram bernilai RM6,000 daripada pengedar terbabit," katanya.

Katanya dadah terbabit dipercayai untuk dijual kepada penagih di kawasan Tanjung Kling, Sungai Udang dan Batang Tiga di sini.

Salehhudin berkata polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dilapor hilang di Tanjung Kling semalam daripada seorang penagih yang ditahan.
dadah, heroin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain