suria

Lans Koperal Mohd Azuan Patut Diiktiraf Wira - Pengarah KDNKA

Mohd Azuan Abdullah maut ketika bertugas.

BESUT: Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah dari Unit Rondaan Bermotor (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak yang terkorban ketika mengejar penjenayah pada 26 Mei lalu patut diiktiraf sebagai wira, kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Dan Kententeraman Awam Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata kematian anggota tersebut bukan sia-sia dan patut dicontohi oleh anggota yang lain dalam menegakkan undang-undang.

Sepatutnya Allahyarham menjadi sanjungan anggota masyarakat dan dikurniakan pingat akan keberaniannya, katanya.

Ia merupakan satu kehilangan besar kepada URB Perak tetapi yang menyedihkan tidak ada seorang pun anggota masyarakat termasuk dari NGO yang sanggup membuat pengakuan akan keberaniannya dalam melindungi masyrakat dari penjenayah," katanya kepada pemberita semasa melawat Ibu Pejabat Polis Kampung Raja, Rabu.

Mohd Azuan, 25, yang berasal dari Kulai, Johor maut setelah dirempuh kereta yang dinaiki penjenayah dalam kejadian samun sebuah van rokok di Batu 10, Parit Buntar, menghala ke Alor Pongsu.

Rakan setugasnya cedera parah.

Dalam perkembangan lain, Salleh berkata pihak polis kini mempergiatkan aktiviti membanteras kegiatan penyeludupan termasuk diesel bersubsidi di sempadan negara bersama jabatan peguat kuasa yang lain.

"Kita sentiasa memantau masalah kegiatan penyeludupan minyak subsidi diesel yang berlaku di sempadan masa kini termasuk di Rantau Panjang dan Golok di samping akan melipat gandakan lagi peranan Polis Marin untuk membanteras sama ada di laut maupun sungai.

Beliau dijangka mengadakan lawatan kerja ke beberapa IPD dan Ibu Pejabat Kontinjen di Kelantan dan Terengganu.

Artikel Lain