suria

Buka Pejabat Konsulat Malaysia Di Xi'an - Najib

Najib disambut Imam Besar Masjid Agung Xi An, Ding Jing Ping bersama ahli jemaah masjid ketika tiba untuk melakukan lawatan di Xi'an, Rabu.
XI'AN: Malaysia bercadang mewujudkan pejabat konsulat di sini, ibu kota wilayah Shaanxi di barat laut China, untuk mempermudahkan pengeluaran visa kepada rakyat China untuk mengunjungi Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pejabat konsulat itu, bagi urusan imigresen, bertujuan meningkatkan aliran pengunjung dari wilayah barat laut China untuk datang ke Malaysia dan sebaliknya.

"Seorang atau dua pegawai imigresen akan dilantik untuk mempermudahkan pengeluaran visa memandangkan terdapat banyak permohonan daripada penduduk tempatan untuk melawat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, AirAsia, akan mengadakan empat penerbangan seminggu ke Xi'an dari Kuala Lumpur bermula awal Julai tahun ini.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas melawat 'Museum Qin Terracotta Warriors and Horses' di sini pada Rabu.

Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak lelaki, Nor Ashman.

Dalam lawatan itu, delegasi beliau turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Duta Khas Perdana Menteri di China, Tan Sri Ong Ka Ting.

Najib berkata, beliau memasukkan Xi'an dalam lawatan rasmi beliau ke China memandangkan ia menandakan permulaan tamadun China yang bermula sejak 5,000 tahun dahulu.

"Saya menghargai kehebatan tamadun China dengan mengunjungi Xi'an, terutamanya tamadun yang dimulakan oleh maharaja pertama China Qin sekitar 2,200 tahun lepas untuk menyatukan China.

"Ia juga permulaan bagi China sebagai sebuah negara, dan saya sememangnya berasa seronok dengan lawatan ini.

"Saya berharap ia akan menjadi peringatan tentang legasi China kepada umat manusia," katanya.


Artikel Sebelum

Sultan Perak Mangkat

Artikel Berikut

Artikel Lain