suria

Analisis PRK Teluk Intan: Antara Pengalaman dan Pengaruh Calon

Sabtu ini bakal menjadi penentu kepada pertembungan calon BN dan DAP bagi kerusi PRK Telun Intan.
GENAP seminggu selepas penamaan calon, Datuk Mah Siew Keong , 53, dari Barisan Nasional (BN) dan Dyana Sofya Mohd Daud, 27, dari DAP masing-masing berentap untuk bersaing merebut kerusi Parlimen Teluk Intan.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan menyaksikan pertembungan dua generasi antara calon yang banyak pengalaman dan calon yang baharu 'setahun jagung'.

Kecantikan dan personaliti ceria membuatkan Dyana menjadi bualan ramai sehinggakan ada yang mahu menghadiri ceramah dan kempen semata-mata untuk melihat beliau secara lebih dekat, tidak kurang juga berselfie.

Bagaimanapun, permulaan Dyana sebagai calon tidak begitu baik apabila beliau dihambat dengan kontroversi gambar wanita berbikini yang didakwa dirinya, tetapi sebenarnya merupakan pelakon Filipina, Pauleen Luna.

Pertikaian Dyana, sebagai calon Melayu mewakili DAP, sebuah parti yang dilabel cauvinis kerana mencetuskan sentimen perkauman turut dibangkitkan dan ia membuatkan peguam berusia 27 tahun serta-merta dalam kempennya mahu menolak politik perkauman sekali gus ingin menunjukkan pemilihannya  adalah bukti parti itu tidak rasis.

Keberaniannya mencadangkan supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang selama ini untuk Melayu dan Bumiputera dibuka penyertaannya kepada bukan Melayu telah membangkitkan kemarahan masyarakat Melayu.

Bagaimanapun, jika hendak diikutkan pencalonan Dyana boleh menarik pengundi Melayu, tetapi pada masa sama kenyataannya  mengenai UiTM boleh menyebabkan magnet untuk undi Melayu tidak begitu kuat.

Beliau juga 'tersilap langkah' ekoran kelantangan suaranya menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini, di mana ia diperjuangkan PAS selaku parti sekutu DAP.

Jika Dyana dipilih menjadi wakil rakyat di Teluk Intan, nampaknya hasrat PAS untuk membawa hudud ke Parlimen  sukar, bagaimanapun, sama ada ia sekadar lakonan Dyana untuk memancing undi bukan Melayu dengan membantah pelaksanaan hukum hudud, ia nampaknya berhasil sebagai modal kempennya.

Sejak kenyataannya dalam satu temuramah disensasikan, Dyana terus mengunci mulut dan cuba mengelak daripada mengulas perkara itu walaupun diasak media.

Dyana sendiri mengakui jika ada soalan yang tidak dapat dijawabnya, beliau akan mendapatkan bantuan penasihat parti, Lim Kit Siang untuk menjawab bagi pihaknya.

Parti Gerakan pula mempersoalkan Dyana sama ada beliau merupakan calon DAP pada PRK Teluk Intan atau sekadar wakil parti itu berikutan kesukarannya menjawab soalan yang dibangkitkan pengundi.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Dyana mula dikenali sebagai Setiausaha Politik kepada Kit Siang yang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dan sehingga hari beliau diumumkan sebagai calon, khidmatnya hanya tertumpu kepada majikannya yang berpengaruh dalam DAP.

Menurut sumber, selain faktor usia dan fizikal, pengaruh Kit Siang membantu Dyana merancang strategi dalam meraih undi.

Persoalannya, adakah Dyana boleh memberi khidmat kepada 60,000 pengundi di Teluk Intan bersandarkan pengalamannya berkhidmat dengan seorang pemimpin.

Satu perbandingan yang begitu ketara dalam menilai keupayaan beliau untuk menjadi wakil rakyat, sekiranya dipilih.

Sementara BN pula berhadapan dengan cabaran besar menerusi 7,313 undi majoriti yang diperoleh DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 di mana anak kelahiran Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong tewas di kawasan Parlimen itu kepada calon DAP, Seah Leong Peng pada PRU lalu.

Bagaimanapun, Leong Peng meninggal dunia akibat kanser pada 1 Mei lalu, yang menyaksikan Siew Keong bangkit semula pada PRK Teluk Intan selepas tewas bukan sekali tetapi dua kali pada 2008 dan 2013.

Sejak 1995, kawasan parlimen itu melalui lima PRU dan satu PRK dengan DAP dan Gerakan-BN, masing-masing menang sebanyak tiga kali dan tentunya ini menunjukkan BN masih mempunyai peluang untuk menang walaupun hanya 50-50 peratus.

Peluang itu dinilai menerusi kedudukan Siew Keong sebagai anak tempatan yang cukup mengenali dan memahami rakyat di Teluk Intan, berbanding Dyana yang merupakan anak kelahiran Ipoh, dibesarkan di Kuala Lumpur dan berpindah ke Johor demi khidmatnya kepada Kit Siang.

Kelayakan Siew Keong  dilihat pada senarai portfolionya yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen, timbalan menteri dan kini menjadi Presiden Gerakan.

Kedudukannya itu mempunyai pengaruh kuat dan hubungan baiknya dengan kerajaan pusat akan memberi faedah buat rakyat sekiranya mereka memilih Siew Keong.

Siew Keong berkata, peluang beliau ketika ini masih 45-55 peratus dan menjangkakan dapat mencapai 51 peratus menjelang Sabtu ini meskipun ia begitu sukar.

Walaupun Dyana bukan calon 'heavyweigh' tetapi Mah menyifatkan calon DAP itu bukan 'underdog' sebaliknya mampu memberi saingan sengit berdasarkan kelebihan dari segi usia dan penampilan menarik.

Sehubungan itu, Siew Keong mengambil langkah lebih proaktif dengan bertemu rakyat secara dekat, dari rumah ke rumah dalam kempennya untuk memnjelaskan isu berbangkit terutama berkaitan kerajaan. 

Walaupun orang lama berbanding calon muda yang mungkin mempunyai idea segar, tetapi Siew Keong telah membawa banyak perubahan kepada Teluk Intan sejak beliau menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen itu.

Menerusi kempen yang digerakkan kedua-dua calon dan parti, pengundi-pengundi di Teluk Intan dapat menyaksikan siapakah yang boleh menjadi wakil rakyat atau sekadar wakil parti semata-mata.

Perbezaan usia antara kedua-dua calon bukan soalnya tetapi adakah mereka dapat meyakinkan pengundi berdasarkan pengalaman dan pengaruh masing-masing dalam tempoh berkempen yang hanya berbaki seminggu lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain