suria

Lady D Jadi Buruan Di Teluk Intan

Orang ramai mengambil peluang bergambar dengan calon DAP Teluk Intan, Dyana Sofya pada Sabtu.

TELUK INTAN: Hujung minggu kali ini berbeza sekali, selain menziarahi keluarga, ada di kalangan anak kelahiran bandar Teluk Intan di sini yang pulang dari luar untuk merasai suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK).

Tinjauan mStar Online mendapati banyak kereta dengan nombor pendaftaran luar Perak memenuhi sekitar bandar ini terutama pada hujung minggu.

Apabila ditanya, memang benar mereka pulang untuk mengetahui perkembangan terkini PRK, malah ada yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan selfie bersama calon.

Bagi Zaaimah Mohd Yusof,  walaupun kerap pulang ke kampung tetapi kali ini berbeza kerana mahu melihat calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud yang mendapat liputan meluas kebelakangan ini.

Zaaimah ber'selfie' dengan Dyana Sofya.

"Kakak balik sebab nak jumpa calon, nak keliling kawasan untuk lihat suasana PRK, kalau dapat selfie dengan 'Lady D," katanya yang menetap di Wangsa Maju.

Ditanya siapa yang dimaksudkan dengan Lady D, Zaaimah berkata, itu gelaran yang diberikan kepada Dyana Sofya kerana penampilannya yang menawan umpama mendiang Puteri Diana, lebih-lebih lagi nama mereka hanya berbeza pada ejaannya sahaja.

"Misi tercapai untuk berselfie dengan Dyana ketika terserempak dengan dia yang sedang berkempen di Pasar Minggu, memang bonus balik kampung kali ini," katanya yang kebetulan terserempak dengan Dyana Sofya yang sedang berkempen ketika berkunjung ke Pasar Minggu.

Bukan hanya mereka di luar Teluk Intan, malah penduduk tempatan juga menantikan kemunculan Dyana Sofya di kawasan mereka untuk bersemuka sendiri dengan calon yang menjadi bualan ramai.

Fatin Nabila Atan, 25, berkata, dia turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Dyana Sofya yang dinantikan sejak diumumkan sebagai calon.

"Saya sentiasa mendengar dan mendapatkan maklumat terkini mengenai lokasi kempen Dyana Sofya, tetapi sering sahaja tidak berkesempatan.

"Tetapi saya akhirnya dapat jumpa dia setelah hampir seminggu tertunggu-tunggu. Jadi apa lagi, saya gunakan peluang untuk ambil gambar dan selfie dengan dia," katanya dengan rasa teruja.

Muhd Hanif Matugimin, 18, pula berkata, ini merupakan kali pertama dapat berjumpa dengan Dyana Sofya kerana sebelum ini hanya melihat calon itu di televisyen dan poster.

"Bila dah jumpa depan Dyana Sofya, dia memang nampak comel dan mesra. Saya ada ambil gambar dia seorang.

"Tetapi saya tak sempat ambil gambar 'selfie' bersama dia kerana begitu ramai ketika itu, keadaan begitu sesak," katanya yang akan cuba lagi untuk ber'selfie' dengan calon itu.

Sementara itu, Azhar Abdul Wahab, 35, berkata, dia cukup berpuas hati dapat 'buah tangan' daripada Dyana Sofya walaupun tidak ber'selfie' dengan calon itu.

"Saya tak terkata semasa berhadapan dengan dia sampai terlupa nak minta untuk ambil gambar bersama. Malu pun ada, tetapi sebenarnya mahu.

"Tetapi saya sempat minta Dyana Sofya untuk turunkan tandatangan dia di baju saya, siap dengan ucapan 'thank you' (terima kasih)," katanya yang akan mengambil bersama dengan calon itu sekiranya berpeluang pada masa akan datang.

Tambahnya, dia pasti lebih ramai terutama anak muda di Teluk Intan akan terus 'memburu' Lady D itu untuk bergambar dan selfie bersama.

Bagi Nur Halimah Mutagimin, 18, dia bersama teman baiknya berpeluang untuk bergambar dengan Dyana Sofya.

"Sebaik sahaja dapat bergambar dengan Dyana Sofya, saya terus memuat naik gambar itu di Facebook.

"Setakat ini belum ada komen yang diterima tentang gambar itu tetapi sudah ada rakan-rakan yang 'like' (tanda suka).

"Apa yang penting, saya dah tidak lagi ketinggalan lagi di kalangan rakan-rakan saya di Facebook yang antaranya sudah pun mempunyai gambar termasuk 'selfie' bersama Dyana Sofya," katanya.

Dyana Sofya, DAP

Artikel Berikut

Artikel Lain