suria

Pemuda Umno Tuntut Permohonan Maaf Daripada Rayer

Khairy Jamaluddin
PUTRAJAYA: Pemuda Umno masih menuntut permohonan maaf daripada Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Delima R.S.N. Rayer kerana membuat kenyataan provokasi terhadap parti itu dan pemimpinnya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata mengenai kenyataan yang menghina itu, mereka masih melihat kenyataan Rayer sebagai satu provokasi dan menuntut ADUN DAP itu memohon maaf.

Justeru, beliau melihat perhimpunan yang dilakukan oleh Pemuda Umno Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan adalah berasas tetapi terdapat beberapa aspek dalam perhimpunan ini yang tidak sepatutnya berlaku.

"Saya telah berpesan kepada anak buah saya supaya bertenang" katanya ketika ditemui wartawan selepas melancarkan Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas Peringkat Kebangsaan 2014 di sini Jumaat.

Dalam insiden di hadapan ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur semalam, Khairy berkata beliau menyokong dan memahami tindakan mereka membuat demonstrasi semalam.

"Itu sejajar dengan pandangan saya sendiri bahawa provokasi ekstrem oleh Rayer dengan membuat kenyataan menghina Umno dan pemimpin-pemimpin Umno dan saya berfikir apa yang dikatakan beliau telah dirancang dan dipertimbangkan dengan tujuan memprovokasi anggota-anggota Umno," katanya. 

Khairy berkata beliau telah menghantar pesanan kepada Anggota Parlimen Serdang Ong Kian Ming yang berada di sana semalam menerusi twitter berkaitan insiden itu.

"...adalah hak kami untuk pergi ke sana tetapi mengenai kemusnahan harta benda DAP, di mana papan tanda telah rosak, saya meminta maaf di atas kerosakan itu dan bersedia menggantikan papan tanda itu," katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata DAP sepatutnya faham daripada mana puncanya insiden itu.

"Demonstrasi itu tidak berlaku dalam keadaan terasing, ia berlaku kerana penghinaan yang dilakukan oleh ADUN mereka, katanya.

Terdahulu, Khairy menyampaikan anugerah tahap emas kepada 111 orang peserta pada Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Peringkat Kebangsaan.

Program Anugerah Remaja Perdana itu merupakan program pengiktirafan bertaraf antarabangsa yang diadaptasi daripada Program Anugerah Antarabangsa Duke of Edinburgh.

Piawaian antarabangsa bagi program anugerah itu mewajibkan peserta menjalani empat komponen iaitu khidmat masyarakat, rekreasi fizikal, kemahiran dan penjelajahan lasak dan penempatan khas bagi tempoh tertentu bagi setiap tahap anugerah yang disertai bagi melayakkan peserta diberikan pengiktirafan.

Artikel Lain