suria

SHAH ALAM: Seorang wanita warga Guinea dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 964.6 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Aminata Sanoh, 32.

Wanita itu didakwa mengedar 600.2 gram dadah Methamphetamine yang dijumpai di dalam bagasinya di tempat tuntutan bagasi, KLIA pada pukul 8 malam, 30 Julai 2012.

Tertuduh juga didakwa mengedar 364.4 gram dadah jenis sama yang dijumpai di dalam seluar dalamnya di tempat, masa dan tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan ke atas wanita itu dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dia dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Seramai lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mirza Muhamad sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Hidhir Mustapa.


Guinea, Dadah, KLIA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain