suria

PM Percaya Pelantikan Dr Mahathir Bantu Kukuhkan Proton

TOKYO: Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Proton boleh membantu mengukuhkan syarikat kereta nasional dan meningkatkan kedudukannya dalam industri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dengan kepakaran dan pengetahuannya, Dr Mahathir boleh membantu Proton mengharungi cabaran yang dihadapi oleh syarikat itu.

"Saya percaya pelantikan Tun Dr Mahathir akan menambah kekuatan baru kepada Proton berdasarkan komitmen beliau yang kuat untuk memastikan kejayaan negara.

"Terdapat banyak cabaran pada masa hadapan, tetapi saya yakin beliau akan dapat meningkatkan daya saing Proton dalam industri. Saya yakin Proton akan mendapat manfaat daripada komitmen dan pengalaman Dr Mahathir," katanya kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia bertema "Rising Asia - Messages for the Next 20 Years" yang diadakan di sini, Khamis.

Ditanya jika pelantikan itu akan memberikan kuasa lebih besar terhadap bekas Perdana Menteri itu untuk membuat keputusan mengenai masa depan kereta nasional, Najib berkata, keputusan perlu dibuat oleh Proton kerana ia adalah sebuah syarikat tersenarai awam.

Pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi Proton Holdings Bhd telah diumumkan pada Rabu.

Sebelum ini beliau adalah penasihat Proton, jawatan yang dipegang selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003.
Dr Mahathir, Najib Tun Razak, Proton

Artikel Lain