suria

Saya Akan Hadir Kenduri Kahwin Anak Ahmad Said - PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak yang mengakui kemelut politik Terengganu berlaku kerana salah faham berjanji akan menghadiri majlis perkahwinan anak bekas Menteri Besar Terengganu di Kemaman pada 17 Mei ini.

Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku disebabkan salah faham dalam komunikasi antara beliau dengan Datuk Seri Ahmad Said.

"Saya menghargai tindakan beliau (Ahmad Said) kerana meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya," katanya pada Khamis.

Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional mengulas keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal yang untuk kembali bersama Umno.

Terdahulu beliau merasmikan penubuhan Kumpulan Usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)  dan Seminar Usahawan Otomotif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Kemelut politik negeri berkenaan tercetus apabila permohonan Ahmad untuk menangguhkan proses peralihan kuasa di negeri berkenaan selepas majlis perkahwinan anak perempuannya ditolak.

Menganggap ia mencemar maruahnya, Ahmad mengambil keputusan meletak jawatan dan keluar Umno pada Isnin. Tindakannya diikuti dua lagi Adun iaitu Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Bagaimanapun, pada Rabu segalanya kembali bertaut apabila ketiga-tiganya menarik balik surat keluar Umno.

Sementara itu, pada majlis berasingan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bersyukur kerana kemelut politik yang melanda Terengganu dapat diselesaikan dalam masa singkat.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain