suria

Adun Kemasik Rosli Othman Nafi Keluar Umno

Ir Rosli Othman.

KUALA TERENGGANU: Seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Selasa menafikan khabar angin bahawa beliau akan keluar daripada Umno dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas seperti tiga lagi wakil rakyat daripada parti itu yang berbuat demikian.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman memberitahu Bernama melalui telefon bahawa beliau masih bersama Umno bertentangan dengan mesej yang tersebar melalui SMS selepas tiga wakil rakyat mengisytiharkan mereka keluar parti.

Antara mesej yang tersebar melalui SMS itu menyebut bahawa Rosli ialah seorang daripada tiga wakil rakyat BN dari Umno yang keluar daripada parti itu dan menyertai tiga yang lain bagi mengisytiharkan mereka sebagai wakil Bebas.

Bekas Menteri Besar Terengganu dan Adun Kijal Datuk Seri Ahmad Said, Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud mengisytiharkan awal Selasa keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Ini berikutan peletakan jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar pada Isnin dan majlis mengangkat sumpah jawatan Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar yang baharu malam Isnin.

Dengan pergolakan itu, BN kini mempunyai 14 kerusi DUN diikuti PAS (14), PKR (satu) dan tiga wakil Bebas.

Adun Kemasik, Ir Rosli Othman

Artikel Lain