suria

PAS Tangguh Laksana Hudud

KUALA LUMPUR: PAS menangguhkan hasrat mereka untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat berhubung perlaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan itu dibuat bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Teknikal yang bakal ditubuhkan untuk mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan itu.

"Oleh itu cadangan membawa rang undang-undang itu pada persidangan Dewan Rakyat Jun ini tidak akan diteruskan," katanya menerusi kenyataan media tiga perenggan pada Ahad.

Keputusan berkenaan dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Pejabat Agung parti itu di sini.

Isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kembali menjadi perbincangan hangat akhir-akhir ini apabila Kerajaan PAS Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu, bercadang membawa usul berhubung perkara tersebut di Dewan Rakyat Jun ini.

Hasrat PAS untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian itu di Parlimen ditentang keras sekutunya, DAP, atas alasan pelaksanaan hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pakatan PAS-DAP-PKR.
PAS, Hudud, Abdul Hadi Awang

Artikel Sebelum

Artikel Lain