suria

Mayat Lelaki Bertatu Ditemui

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh di Jalan Kelik, Permatang Pauh di sini, Selasa.

Mayat lelaki bertatu naga di dada dan ikan koi di belakang badan, dengan beberapa kesan kecederaan dan luka itu, ditemui dalam semak berhampiran sebuah rumah tali air oleh orang awam pada pukul 7.40 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Baharom Abu berkata tiada dokumen pengenalan diri ditemui. 

Polis percaya lelaki yang memakai baju kemeja denim dan berseluar jeans itu adalah rakyat asing kerana tiada kesan suntikan BCG di lengannya.

Berdasarkan kesan darah yang kering di badan lelaki itu dan tiada titisan darah serta tiada kesan pergelutan di tempat mayat ditemui, polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan itu, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa disamun sebelum dibunuh memandangkan dompet, telefon bimbit, dokumen dan wang tunai tidak ditemui pada mangsa," katanya.

Baharom berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan atau pekerja dan mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi ASP Suriman Shahrim di talian 013-4188669 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

mayat, tatu, Permatang Pauh

Artikel Lain