suria

Rombakan Pengurusan Tertinggi Kumpulan The Star

PETALING JAYA: The Star Media Group mengumumkan pelantikan Calvin Kan sebagai ketua pegawai operasi kumpulan (COO).

Kan, yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan The Star Radio tahun lalu menyertai The Star pada 1989 sebagai eksekutif kanan pengiklanan.

Graduan Sarjana Muda Sastera Universiti Kebangsaan Malaysia ini juga pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat pengurusan di bahagian pengiklanan termasuk pengurus besar, pengurus kanan pengiklanan dan pengurus kanan, pengiklanan dan promosi perniagaan.

Beliau juga pernah menduduki kerusi naib presiden eksekutif, perniagaan percetakan pada 2013 dan pengarah perniagaan kumpulan dengan tambahan tugas sebagai COO percetakan pada 2011, di mana beliau bertanggungjawab terhadap operasi harian perniagaan percetakan syarikat iaitu komponen utama yang menyumbang kepada pendapatan kumpulan.

Kan, 53 juga adalah ahli lembaga pengarah bagi Rimakmur Sdn Bhd dan Capital FM Sdn Bhd, serta Persatuan Pengeluar Akhbar Malaysia.

Beliau akan terus memikul tanggungjawab terhadap operasi The Star Radio Group merangkumi Red FM, Suria FM, 988 dan Capital Radio.

Calvin Kan, June Wong dan Leanne Goh


Sementara itu, June HL Wong yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarang Kumpulan tahun lalu kini diberi portfolio yang lebih luas apabila dilantik sebagai COO pembangunan kandungan.

Graduan Universiti Malaya (UM) ini akan membantu pengarah urusan kumpulan dan CEO Datuk Seri Wong Chun Wai.

June juga akan bersama Chun Wai bagi merangka pelan perancangan tumpuan kumpulan media untuk menyatukan pelbagai platform dalam syarikat.

Selain itu, Leanne Goh pula dilantik sebagai pemangku ketua pengarang kumpulan, menggantikan June.

Goh yang juga timbalan ketua pengarang kumpulan memulakan khidmat bersama syarikat ini pada 1984 selepas tamat pengajian dalam bidang kesusasteraan Inggeris di UM.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan, bermula sebagai wartawan, penulis kanan, seterusnya ketua wartawan dan pengarang sepanjang khidmatnya di meja berita, pendidikan dan Sunday Star.

Beliau adalah antara tunggak utama dalam penghasilan sisipan dan projek pendidikan, termasuk program Newspaper in Education (NiE) yang berjaya merangkul anugerah di peringkat antarabangsa.

Sebagai pengarang eksekutif dan pengarang Sunday Star, beliau bertanggungjawab terhadap pengeluaran akhbar pada Ahad, Sunday Metro dan Star Education.

Ketiga-tiga pelantikan berkuatkuasa serta merta.

Chun Wai berkata, perubahan itu adalah sebahagian proses untuk mengukuhkan syarikat dalam menghadapi cabaran semasa.

"Segmen percetakan kekal sebagai landasan utama, bagaimanapun kami dalam usaha untuk memainkan peranan penting dalam segmen digital, radio dan televisyen yang akan memberi kesan kepada syarikat pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, pengalaman June selama 30 tahun sebagai wartawan tentunya dapat membantu mengukuhkan kandungan untuk pelbagai platform dalam syarikat, sambil menambah 'kandungan tetap menjadi keutamaan.'

The Star memperkenalkan CIMB-Asean ePaper Collaboration membabitkan empat akhbar bulan lalu, menjadikan ia sebagai yang pertama di rantau ini. Minggu lalu, ia melancarkan laman membeli belah e-commerce.

November lalu, syarikat melantik COO perniagaan digital, Roy Tan bagi meningkatkan landasan berita digital dalam kumpulan media dan meningkatkan pendapatan.

Tan, 40 pernah berkhidmat di pelbagai agensi media dan pengiklanan dan berpengalaman luas dalam bidang itu selama 20 tahun. 

The Star, The Star Media

Artikel Lain