suria

Tiada Kebocoran Radioaktif Di Kilang Sarung Tangan - Bomba

Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor pada Selasa mengesahkan tidak berlaku sebarang kebocoran radioaktif di sebuah kilang mengeluarkan sarung tangan perubatan di Rawang dekat sini seperti yang tersebar di media sosial.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata khabar angin itu tersebar berikutan kebakaran kecil kira-kira 5.30 pagi Selasa, melibatkan beberapa kotak sarung tangan di kilang yang terletak di kawasan perindustrian.

"Terdapat penyebaran maklumat palsu berkenaan insiden ini dalam media sosial seperti WhatsApp dan rasa takut ini mendatangkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat mengenai keselamatan mereka.

"Saya harap agar tiada sebarang hebahan dibuat berhubung perkara ini," katanya.

Mohd Sani berkata bomba menerima panggilan daripada orang awam berkenaan insiden itu pada 5.59 pagi.

Katanya Unit Bahan Berbahaya dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom mengesahkan tiada kebocoran radioaktif dikesan di kilang itu mahupun kawasan sekitarnya.

Lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rawang tiba di lokasi pada 6.07 pagi, namun tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

Artikel Lain