suria

Gaji Lumayan Di Luar Negara Tak Halang Minat Bakat Malaysia Pulang - TalentCorp

Johan Mahmood Merican. Foto BERNAMA

DUBAI: Gaji lumayan berkhidmat di luar negara seperti di Timur Tengah tidak menyekat minat pakar dan bakat Malaysia untuk pulang menyumbang kepakaran dalam bidang strategik di tanah air, kata Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), Johan Mahmood Merican.

UAE umpamanya menjadi negara keenam teramai melibatkan bakat dan pakar Malaysia yang pulang walaupun diketahui mereka menerima gaji yang tinggi ketika berkhidmat di negara itu, katanya.

Beliau berkata, antara faktor pendorong bakat Malaysia pulang adalah kerana mendapat peluang menjawat kedudukan kanan dalam syarikat atau kedudukan yang boleh mempengaruhi pembangunan dan kejayaan syarikat di Malaysia.

"Kebiasaannya juga yang terkanan atau pengurusan syarikat di sini (UAE) akan diambil orang tempatan atau mungkin dari Eropah.

"Itu satu tarikan kepada mereka yang ada pengalaman dan kepakaran untuk pulang mengambil kedudukan lebih kanan syarikat di Malaysia dan masa yang sama dapat menyumbang kepada program transformasi negara," katanya kepada wartawan Malaysia di sini yang membuat liputan sempena lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Dubai.

TalentCorp menganjurkan program makan malam bersama diaspora Malaysia di UAE pada Jumaat yang dihadiri Muhyiddin sempena lawatan kerjanya. Lebih 280 profesional Malaysia dari segenap UAE menghadiri majlis itu.

Johan berkata, kunjungan TalentCorp ke UAE adalah kerana terdapat tumpuan bakat Malaysia yang memiliki kepakaran yang diperlukan Malaysia untuk program transformasi negara selain mempunyai permintaan tinggi di tanah air.

Lebih 50 bakat dan pakar Malaysia yang berkhidmat dalam sektor minyak dan gas, kesihatan dan pembinaan di UAE pulang tahun lepas, katanya.

Johan berkata lebih 2,500 permohonan diluluskan di bawah Program Kepulangan Pakar (REP) yang dikendalikan TalentCorp dalam tempoh tiga tahun mulai 2011.

"Bilangan pakar yang berminat pulang ke Malaysia bukan sahaja atas usaha TalentCorp tetapi dipengaruhi momentum transformasi ekonomi yang giat dijalankan," katanya.

Johan berkata, bakat dan pakar yang masih belum bersedia untuk pulang masih boleh menyumbang kepada program transformasi negara dengan membantu menggalakkan pelaburan balik ke Malaysia selain membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran luar negara atau memberi khidmat nasihat.

"Tidak semestinya mereka pulang, (walaupun) seeloknya mereka pulang, jika tidak mereka, masih boleh menyumbang dari luar negara," katanya.

Beliau berkata dalam pertemuannya dengan bakat Malaysia di UAE, sebahagian mereka bertanya bagaimana untuk berhubung dengan majikan di Malaysia dan sebahagian pula berminat mahu menyumbang dari luar negara.

"Secara amnya mereka masih mengekalkan semangat sebagai rakyat Malaysia sama ada mahu pulang atau menyumbang dari sini (UAE)," katanya.

-- BERNAMA

Artikel Lain