suria

Shalwati Kemungkinan Besar Tidak Cabar Keputusan Mahkamah - Peguam

Shalwati (kiri) dan Azizul akan menjalani tempoh hukuman penjara yang lebih pendek dengan kelakuan baik.
PETALING JAYA: Kerajaan akan membantu Azizul Raheem Awalluddin dan Shalwati Norshal di Sweden jika mereka mahu mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap mereka, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Semuanya terpulang kepada mereka, sama ada mahu merayu, tetapi kami bersedia untuk membantu mereka," katanya.

Anifah berkata, bagaimanapun, Malaysia menghormati keputusan Mahkamah Daerah Solna yang mendapati Azizul, Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden dan isterinya bersalah.

Peguam Kristofer Stahre pada JUmaat memberitahu The Star, Shalwati berkemungkinan besar tidak akan membuat rayuan terhadap hukuman penjara 14 bulan yang dijatuhkan terhadapnya tetapi tidak menolak kemungkinan itu.

Beliau berkata, wanita berusia 46 tahun itu memberi reaksi positif apabila mendengar keputusan itu kerana pihak pendakwaan telah meminta hukuman penjara dua setengah tahun terhadapnya pada hari terakhir perbicaraan.

Di Sweden sering terdapat 'pembebasan' untuk tingkah laku yang baik dan Shalwati kemungkinan besar hanya akan menjalani dua pertiga daripada hukuman itu.

Dengan mengambil kira tahanan reman selama tiga bulan setengah yang telah dijalaninya, dia perlu dibebaskan pada bulan September.

Stahre berkata pihak mereka dan pihak pendakwa mempunyai tiga minggu untuk merayu kepada Mahkamah Agung jika mereka ingin berbuat demikian.

Katanya, beliau akan bertemu Shalwati di pusat tahanan untuk membincangkan pilihannya.

Beliau menegaskan sebarang rayuan di pihak mereka boleh menyebabkan pihak pendakwa melakukan perkara yang sama, tetapi untuk hukuman lebih keras.

The Star tidak dapat memastikan sama ada Azizul, 38 tahun, yang mempunyai peguam berasingan, merancang untuk merayu terhadap hukuman 10 bulan yang dikenakan terhadapnya.

Dia dijangka hanya akan menjalani hukuman penjara empat bulan dengan bantuan 'pembebasan' atas tingkah laku yang baik dan tempoh semasa ditahan reman.

Pasangan itu, yang telah ditahan sejak 18 Disember juga diperintahkan membayar kerugian sebanyak RM52,262 kepada anak-anak mereka bagi keganasan sistemik dan berulang.

Artikel Lain