suria

PRK Balingian: PKR Akui Calon Jadi Faktor BN Menang

See Chee How

MUKAH: Keputusan pimpinan Barisan Nasional (BN) meletakkan Yussibnosh Balo sebagai calon pilihan raya kecil merupakan faktor utama kemenangan besar BN, kata seorang pemimpin PKR Sarawak.

Naib presiden PKR Sarawak, See Chee How berkata Yussibnosh mempunyai kelebihan ke atas calon PKR Abdul Jalil Bujang memandangkan calon BN merupakan bekas penjawat awam sebelum menyertai politik manakala Abdul Jalil seorang ahli perniagaan yang menetap di Bintulu.

"Beliau (Yussibnosh) memang biasa dengan orang tempatan dan mengetahui keadaan kawasan dan berdasarkan analisis kami, Yussibnosh calon yang terkuat," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil Balingian di Dewan Suarah Mesra Mukah malam Sabtu.

BN mengekalkan kerusi Balingian dengan majoriti 6,911 undi mengalahkan PKR dengan 72 peratus pengundi keluar mengundi.

Pada pilihan raya negeri 2011, penyandang dan bekas ketua menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengekalkan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi dengan 69.98 peratus pengundi keluar mengundi.

Bagaimanapun, See yang juga pengarah pilihan raya negeri PKR mempertahankan pemilihan Abdul Jalil memandangkan parti itu melihat beliau sebagai mesra rakyat dan mampu menjadi wakil rakyat yang baik jika diberi peluang.

"Kami akan membuat penilaian untuk menganalisis keputusan itu," katanya.

Katanya kempen yang dijalankan BN begitu agresif dengan semua pemimpin negeri dan persekutuan berkumpul di Mukah termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun berkempen.

Abdul Jalil yang turut hadir di Dewan Suarah Mesra Mukah itu berkata keputusannya tidak begitu buruk berbanding undi yang diperoleh calon PKR pada pilihan raya negeri 2011 yang hanya memperoleh 871 undi berbanding 1,283 undi pada pilihan raya kecil ini.

PKR, Balingian, Mukah, BN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain