suria

Ketua Negeri Berhak Buat Keputusan Kibar Bendera Separuh Tiang

Bendera Malaysia dan negeri Perak dikibarkan separuh tiang di stesen keretapi Ipoh sebagai tanda hormat dan simpati terhadap insiden MH370.
PETALING JAYA: Keputusan untuk mengibarkan bendera negeri dan Persekutuan pada separuh tiang adalah hak istimewa yang diberikan kepada ketua-ketua negeri dan negara, kata seorang pegawai kerajaan.

Pegawai kanan yang enggan namanya disiarkan berkata tidak ada pengumuman rasmi oleh Kabinet mengenai perkara itu walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan kenyataan di Parlimen pada Selasa.

Dalam pembentangan khas beliau di Dewan Rakyat untuk menzahirkan penghormatan kepada nasib penumpang dan anak kapal MH370, Najib berkata operasi mencari akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya kotak hitam pesawat dapat ditemui.

"Ia diumumkan oleh Perdana Menteri di Parlimen dan sebagaimana yang kita tahu ia adalah kuasa tertinggi.

"Walau bagaimanapun, di Malaysia, negeri mempunyai undang-undang yang berbeza daripada Kerajaan Persekutuan dan beberapa perkara jatuh di bawah prerogatif ketua-ketua negeri.

"Ketua-ketua negeri-negeri adalah pihak berkuasa tertinggi di negeri mereka jadi saya percaya ini adalah hak mereka," kata pegawai itu dalam satu temu bual di sini Rabu.

Najib, ketika membentangkan usul tergempar di Parlimen pada Isnin berkata kerajaan ada menerima beberapa cadangan antaranya mengibarkan bendera di seluruh negara separuh tiang untuk berkabung akibat kejadian yang menimpa MH370.

"Bagaimanapun, biarlah kita berjaya menemui dahulu serpihan atau objek pesawat dan kita sudah sahkan ia ada kaitan dengan MH370,” katanya.

Di Ipoh, jurucakap kerajaan negeri berkata hanya bendera Perak dan bukan bendera Malaysia yang dikibarkan separuh tiang sebagai tanda hormat dan simpati sambil menambah ia tidak bercanggah dengan seruan Najib.

Pahang menyertai Johor dan Perak dengan mengibarkan bendera mereka separuh tiang berhubung insiden MH370.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri mengibarkan bendera mereka separuh tiang selama tiga hari bermula Rabu sebagai tanda hormat kepada para penumpang dan anak kapal penerbangan MH370 dan ahli keluarga mereka.

Beberapa institusi seperti Penang Free School dan Hotel Everly di Putrajaya, tempat di mana kebanyakan keluarga penumpang Malaysia tinggal juga mengibarkan bendera mereka pada separuh tiang.

Pengurus bahagian bilik di Everly Hotel Kerren Wang berkata pengurusan hotel itu sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka.

"Kami telah membantu MAS untuk memberi kemudahan kepada keluarga terdekat, jadi sebagai tanda hormat kita memutuskan untuk mengibarkan bendera separuh tiang hari ini sebagai penghormatan kepada tetamu kami," kata Kerren.

Walau bagaimanapun, di Jitra, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk tidak mengibarkan bendera pada separuh tiang pada masa ini.

"Selepas mesyuarat exco negeri, kami membuat keputusan buat masa sekarang untuk hanya menunggu kerana ada kemungkinan pesawat hilang dengan semua yang berada dalam pesawat.

"Untuk menunjukkan rasa hormat kepada ahli keluarga penumpang, walaupun ada 1 peratus harapan bahawa mereka masih hidup, kita tidak akan meratapi atau berkabung atau mengibarkan bendera pada separuh tiang," katanya selepas melancarkan projek perumahan Taman Tunku Intan Safinaz di Bandar Darul Aman di sini.
bendera, separuh tiang, MH370

Artikel Lain