suria

Bendera Pahang Dan Persekutuan Dikibar Separuh Tiang Selama Tiga Hari

Para jemaah mengaminkan doa selamat selepas melakukan solat hajat yang diimamkan Ustaz Mohd Khairi Mohd Desa di Masjid Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), di Kuantan, baru-baru ini. Pada Rabu, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menitahkan bendera Pahang dan Persekutuan dikibar separuh tiang di negeri itu bagi menghormati tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370. -fotoBERNAMA
KUANTAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada Rabu menitahkan bendera Pahang dan Persekutuan dikibar separuh tiang di negeri itu bagi menghormati tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Pahang di sini hari ini, pengibaran bendera separuh tiang itu berkuat kuasa serta-merta meliputi jabatan, agensi kerajaan serta pihak swasta selama tiga hari.

"Titah baginda itu adalah sebagai tanda dukacita dan simpati kepada semua mangsa serta waris mangsa pesawat MH370," kata kenyataan itu.

Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian. 

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Artikel Berikut

Artikel Lain