suria

MH370: Tiada Istilah Putus Asa Selagi Ada Petunjuk

SEPANG: Tiada istilah putus asa dalam kamus hidup pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selagi ada sinar harapan untuk menemui pesawat dan penumpang Malaysia Airlines MH370, yang hilang lebih dua minggu lepas.

"Saya tidak akan berputus asa dan saya akan teruskan sebagaimana hari pertama lagi dan saya menaruh harapan tinggi untuk melihat kesudahannya berdasarkan sokongan yang kami terima," kata beliau pada taklimat harian media berhubung perkembangan terkini pesawat MH370 di sini, Sabtu.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata dengan lebih banyak aset digerakkan dan lebih banyak negara tampil membantu, ia akan memberi lebih banyak harapan untuk terus melangkah.

"Namun secara peribadi, saya tidak akan menoleh ke belakang," tegas beliau.

Beliau menggambarkan operasi mencari dan menyelamat ini sebagai yang terbesar dalam sejarah berikutan sokongan dan bantuan dari 26 negara yang langsung tidak membangkitkan isu kos.

"Inilah yang paling baik, tiada siapapun, tidak Malaysia mahupun rakan kami sekalipun, yang bercakap tentang wang ringgit. Perkara ini tidak pernah terlintas di fikiran kami, keutamaan kami adalah untuk mencari pesawat ini," katanya.

Ketika menggambar cabaran semasa operasi mencari dan menyelamat di selatan Lautan Hindi, beliau berkata kapal yang dikerah ke kawasan itu mungkin berdepan arus deras akibat laut bergelora.

Beliau berkata kapal juga diberi amaran kemungkinan berlaku angin puting beliung kategori satu, yang ketika ini di kawasan Pulau Christmas, menuju ke arah kawasan pencarian.

Pada Khamis, Perdana Menteri Australia Tony Abbott mendedahkan imej satelit menunjukkan dua objek kira-kira 2,500km dari barat daya Perth, yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kapal terbang yang hilang itu dengan membawa 239 orang.

Pesawat Boeing 777-200ER itu dalam penerbangan ke Beijing apabila secara misteri hilang dari radar. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

MH370, Australia, China, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain