suria

Saya Bukan Angkuh - Adenan Satem

Adenan menegaskan beliau tidak angkuh tetapi hanya menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri. Foto:ZULAZHAR SHEBLEE/The Star.

MUKAH: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada Sabtu menegaskan beliau bukan berlagak angkuh apabila menyatakan mahu menghalang ekstremis kaum dan agama serta lain-lain pembuat kacau daripada memasuki Sarawak. 

"Saya bukan angkuh tetapi sebagai Ketua Menteri tanggungjawab utama saya ialah melindungi keamanan dan keharmonian di negeri ini," katanya dalam seminar kepimpinan untuk sekumpulan 222 pemimpin komuniti dari Bahagian Mukah di sini. 

Katanya beliau mempunyai senarai individu terbabit.

"Saya berhasrat menambah nama pada senarai itu bagi menghalang lebih ramai pembuat kacau," katanya. 

Beliau berkata pemimpin masyarakat juga mempunyai kuasa untuk mengusir orang luar yang memang dikenali sebagai fanatik agama atau kaum dari kawasan masing-masing.

"Tanggungjawab anda ialah memastikan keamanan dan kehamonian di rumah panjang dan kampung anda. Usir keluar mereka yang cuba menimbulkan masalah kepada anda dan kerajaan," katanya sambil mengingatkan bahawa setiap pemimpin masyarakat dilantik kerana mereka mempunyai pengaruh dalam komuniti masing-masing.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Balingian, Adenan berkata rakyat tidak sepatutnya berasa selesa hanya kerana mereka yakin calon Barisan

Nasional (BN) Yussibnosh Balo tidak akan menghadapi masalah mengatasi calon PKR Abdul Jalil Bujang.

"Jangan ambil mudah. Kita mesti keluar mengundi beramai-ramai. Ingat kembali ketika pilihan raya negeri pada 1996 apabila calon BN Tan Sri Dr Wong Soon Kaikalah kepada calon DAP, Wong Ho Leng untuk kerusi Bukit Asek.

"Majoriti pengundi Cina berasa selesa dan tidak keluar mengundi sebab yakin Soon Kai akan sekali lagi mempertahankan kerusi itu dengan mudah. Akhirnya beliau kalah dengan hanya 226 undi," kata Adenan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain