suria

Tembelang Pasangan Sembunyikan Kelahiran Janin Terbongkar

KEMAMAN: Seorang pemuda ditahan pada Khamis kerana cuba menyembunyikan kelahiran janin berusia 22 minggu yang dikandungkan oleh teman wanitanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K.Manoharan berkata tembelang lelaki itu dan teman wanitanya berusia 24 tahun itu terbongkar setelah mereka pergi ke sebuah hospital di Kuantan untuk mendapatkan rawatan keguguran sebelum ditahan pihak hospital berkenaan, Khamis.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak hospital mendapati wanita yang berasal dari Kampung Gong Pauh, Cukai itu telah mengalami keguguran pada 18 Mac lepas namun uri masih belum dikeluarkan.

"Setelah mengeluarkan uri, suspek ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan hasil siasatan mendapati suspek telah mengandung selama 22 minggu dan belum berkahwin," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Beliau berkata pihak hospital juga telah mengesahkan usia kandungan wanita berkenaan yang mencecah 22 minggu itu adalah janin dan bukannya bayi.

Katanya hasil siasatan yang dijalankan, suspek dan teman lelakinya yang berasal dari kampung Mak Chili didapati menyembunyikan kandungan serta kejadian keguguran berkenaan dari ahli keluarga mereka.

"Teman lelaki suspek yang berusia 23 tahun itu juga mengaku telah menanam janin di Kemaman pada hari keguguran dan kini telah ditahan untuk membantu siasatan manakala wanita berkenaan akan ditahan sebaik selesai menerima rawatan," katanya.

Ekoran daripada itu, sepasukan penyiasat mencari dan menjumpai janin yang ditanam di kawasan semak di Kampung Mak Chili kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Manoharan berkata janin berkenaan dihantar ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi.
janin, kekasih, ACP K.Manoharan

Artikel Lain