suria

Kawasan Lautan Hindi Yang Luas Lambatkan Proses Analisis Imej Serpihan

Peta menunjukkan lokasi pencarian pesawat MH370 yang dilakukan oleh AMSA di selatan Lautan Hindi.
WASHINGTON: Kawasan perairan Lautan Hindi yang luas melambatkan proses untuk menganalisis imej serpihan yang dikesan mungkin ada kaitan dengan pesawaat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang hampir dua minggu, kata syarikat imej satelit.

DigitalGlobe Inc, sebuah syarikat yang berpangkalan di Colorado yang mengumpul imejan untuk kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain, mengesahkan pada Khamis bahawa ia telah merakamkan imej satelit pada 16 Mac menunjukkan serpihan yang mungkin ada kaitan dengan misteri kehilangan pesawat MH370.

Menurut syarikat itu, mereka telah menyerahkan imej tersebut kepada pihak berkuasa Australia yang mendedahkannya pada Khamis.

DigitalGlobe berkata kerajaan Australia memulakan pencarian di kawasan lokasi imej tersebut dirakamkan selepas usaha multinasional diperluaskan ke selatan Lautan Hindi dan perairan dekat Australia.

Beberapa pegawai Malaysia menyifatkan imej tersebut sebagai petunjuk kukuh serpihan pesawat yang hilang itu.

Namun, pihak berkuasa Australia berkata serpihan dalam imej yang dirakamkan itu mungkin tiada kaitan dengan pesawat tersebut.

"Memandangkan saiz luar biasa di kawasan pencarian ketika ini, tempoh masa untuk menganalisisnya mungkin memakan masa,' Kata jurucakap DigitalGlobe, Turner Brinton dalam satu kenyataan.

Brinton berkata, satelit syarikat tersebut mampu merakam lebih daripada tiga juta kilometer persegi imej di bumi setiap hari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain